KUALA LUMPUR – Polis akan memanggil bekas exco Negeri Sembilan mulai esok dan lusa untuk merekodkan keterangan bagi membantu siasatan ekoran kemelut pentadbiran dan institusi diraja Negeri Sembilan.
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, ia susulan beberapa laporan polis yang dibuat berhubung isu berkenaan.
Selain bekas exco, katanya, polis akan turut mengambil keterangan daripada beberapa saksi dan individu lain yang berkaitan bagi melengkapkan siasatan kes, lapor Bernama.
“Memang banyak laporan polis telah dibuat oleh pihak-pihak tertentu (berhubung perkara itu), kita akan menjalankan siasatan dan mengambil keterangan daripada mereka yang berkaitan, termasuk bekas exco dan mereka yang terlibat.
“Setakat ini polis telah memanggil beberapa individu untuk dirakam percakapan, termasuk seorang atau dua individu yang berkemungkinan menjadi saksi dalam kes berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran Projek Whitening the Blackspot Kontinjen Polis Pulau Pinang di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth, hari ini.
Pada 20 September lalu, pihak Istana Negeri Sembilan mengumumkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir membatalkan pelantikan semua Exco berkenaan berkuat kuasa serta-merta.
Sementara warta bertarikh 24 September menyatakan, pelantikan ahli-ahli Exco terbabit dibatalkan mengikut Perkara 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Mengulas lanjut, Mohd Khalid berkata pihaknya juga akan melengkapkan kertas siasatan sebelum dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tindakan selanjutnya.
Ditanya mengenai peruntukan undang-undang yang digunakan dalam siasatan itu, beliau berkata polis masih meneliti secara menyeluruh kesemua laporan yang diterima, dan tidak menolak kemungkinan terdapat kes yang melibatkan Akta Hasutan atau peruntukan undang-undang lain.
“Polis menyiasat (tetapi) yang membuat keputusan sama ada hendak mendakwa dan sebagainya ialah Peguam Negara, mungkin dalam beberapa (kes) ada berkaitan dengan Akta Hasutan, mungkin ada pelanggaran lain dan memerlukan penelitian daripada semua pihak, terutama sekali pihak Jabatan Peguam Negara AG Chambers,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Khalid berkata situasi keselamatan dan ketenteraman awam di Negeri Sembilan ketika ini berada dalam keadaan baik dan terkawal, serta masyarakat negeri itu dilihat memahami perkembangan semasa serta memberikan kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa.
” … kita cuba mengekalkan suasana itu dengan sempurna demi keselamatan masyarakat dan juga rakyat di Negeri Sembilan,” katanya. – 27 September, 2026
