◉ HEADLINES

Jerebu: KPM saran murid asrama kekal di lokasi, makluman tutup sekolah akan disedia lebih awal

Langkah menumpukan keselamatan murid serta mengelakkan keciciran pembelajaran terus menjadi keutamaan KPM sewaktu menghadapi ancaman jerebu, termasuk menyelaras jadual maklumat penutupan sekolah bersama Jabatan Pendidikan Negeri

10:54 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) menyarankan murid-murid asrama untuk terus kekal berada di asrama sepanjang tempoh penutupan sekolah akibat jerebu, tertakluk kepada tahap keselamatan dan kebajikan pelajar yang terjamin.

Menterinya, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, langkah tersebut disyorkan bagi mengelakkan ibu bapa berdepan bebanan logistik untuk berulang-alik mengambil dan menghantar anak sepanjang penutupan sekolah yang berulang.

“Bagi murid asrama, selepas ini mereka disarankan untuk terus berada di asrama sepanjang penutupan sekolah akibat jerebu selagi keadaan selamat dan kebajikan terjamin. Kita tidak mahu ibu bapa terbeban dengan urusan mengambil dan menghantar anak berulang kali,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Mengulas keresahan ibu bapa berhubung jadual penutupan, Fadhlina memaklumkan beliau telah mengarahkan supaya sebarang keputusan penutupan sekolah dimaklumkan seawal mungkin bagi memudahkan ibu bapa membuat rancangan awal.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa trend bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) sentiasa dinamik berasaskan masa dan lokasi, sekali gus memerlukan penutupan dibuat mengikut realiti keadaan semasa kawasan terjejas.

“Pengurusan jerebu juga melibatkan tanggungjawab yang lebih luas. Jabatan Alam Sekitar berperanan memantau kualiti udara dan menangani isu pencemaran manakala Kementerian Kesihatan memberikan panduan berkaitan risiko kesihatan kepada masyarakat.

“KPM pula memberi tumpuan kepada keselamatan murid dan pengurusan operasi sekolah berdasarkan keadaan semasa,” katanya.

Beliau menambah, iktibar daripada krisis COVID-19 membuktikan bahawa gangguan sesi persekolahan memberi implikasi besar kepada tahap pembelajaran anak-anak. Justeru, KPM memberi penekanan khusus untuk menangani isu keciciran, terutamanya memandangkan akses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berbeza-beza mengikut latar belakang murid.

“KPM akan terus memantau keadaan melalui JPN (Jabatan Pendidikan Negeri) dan PPD (Pejabat Pendidikan Daerah) serta memperbaiki penyampaian maklumat kepada ibu bapa. Terima kasih kepada semua ibu bapa atas pandangan dan kesabaran sepanjang kita berdepan situasi ini,” katanya. – 12 Oktober, 2026

Topics

 

◉ Hangat

Too many questions: scammers have least success with Indians, say Penang police

Police data and interviews with arrested scammers attest to this, according state commercial crime investigation department deputy chief

Sepang F1 event must put petty traders in the fast lane: Anwar

PM calls for preparations to help small businesses capitalise on increased visitor traffic during Bahrain Grand Prix

Chegu Bard serah maklumat dakwaan kes ubah wang haram pegawai kanan ATM pada SPRM esok

Chegu Bard berharap kehadirannya diisambut secara profesional dan tertib serta diberi peluang bertemu dengan Azam Baki

◉ Related