SPRM peroleh semula lebih RM23 juta wang, aset 1MDB

Perolehan menerusi proses lucut hak selain penyerahan sukarela babitkan lima individu

12:02 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah berjaya memperoleh semula wang termasuk aset dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di dalam dan luar negara berjumlah RM23,911,460.90, bagi tempoh 2023 hingga 5 Februari lalu.

Wang dan aset ini telah berjaya diperoleh menerusi proses lucut hak termasuk di mahkamah selain penyerahan secara sukarela membabitkan lima individu termasuk dari dua pegawai khas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan seterusnya telah dipulangkan semula kepada Kerajaan Malaysia.

Menurut SPRM, kejayaan memperoleh semula wang terbabit adalah susulan daripada proses menjejak dan memperoleh semula dana 1MDB yang dijalankan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) SPRM.

“Untuk makluman, wang berjumlah RM556,275.64 telah berjaya diperoleh pada 30 Ogos 2023 daripada Nurzahid Taib, pegawai 1MDB, yang telah menerima dana 1MDB bagi Projek Maximus dan Projek Catalyze yang dimasukkan ke dalam akaun syarikat Turquoise Coast Offshore Incorporated, di mana individu ini mempunyai kepentingan.

“Wang ini telah diperoleh menerusi Perintah Pelepasan Akaun di bawah Seksyen 60 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) pada 26 Jun 2023,” katanya dalam kenyataan hari ini.

SPRM menambah, pada 29 September 2023, wang berjumlah AS$972,251.25 atau bersamaan RM4,551,399.45 telah berjaya dipulangkan kepada Kerajaan Malaysia menerusi penyerahan secara sukarela oleh Datuk Amhari Effendi iaitu Pegawai Khas kepada Najib, menerusi pindahan wang dari BSI Bank Switzerland.

Sementara itu, pada 8 November 2023, Mahkamah Tinggi Jenayah Kuala Lumpur telah memberikan perintah melucut hak tiga unit kondominium berjumlah RM7.05 juta milik Mohammad Kamal Yan Yahaya yang juga Pegawai Penasihat Hal Ehwal Luar Negeri kepada bekas Perdana Menteri itu.

“Individu ini telah menerima dana 1MDB menerusi Projek Magnolia, Projek Maximus dan Projek Catalyze ke dalam akaun syarikat Spring Elite International Limited di BSI Bank, Singapura, di mana dirinya mempunyai kepentingan,” katanya.

Tegas SPRM, ketiga-tiga proses pemulihan aset ini telah diperoleh susulan perbicaraan ke atas bekas pegawai bank di Goldman Sachs, Ng Chong Hwa atau lebih dikenali sebagai Roger Ng di Mahkamah Persekutuan Brooklyn, Amerika Syarikat pada Februari 2022 atas dakwaan bersubahat dalam penyelewengan dana 1MDB.

Susulan proses pemulihan aset yang giat dijalankan ini juga katanya, pada 5 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memerintahkan harta-harta milik sekutu kepada Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho iaitu Jerome Lee Tak Loong dan isterinya, Koay Ying Ying di Malaysia dan di Singapura yang keseluruhannya berjumlah RM11,753,785.81 dilucut hak kepada SPRM.

“Permohonan lucut hak ini telah dibuat di bawah Seksyen 56 dan Seksyen 64 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001),” katanya.

Secara keseluruhannya dari 2019 dan sehingga kini, sebanyak RM29.03 bilion aset 1MDB telah berjaya dipulangkan menerusi kerjasama SPRM bersama Pasukan Petugas Khas Pemulihan Aset 1MDB (PPA1M) selain kerjasama daripada agensi luar negara. – 8 Februari, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Fuad has no right to intervene in Sabah 40% special grant case: Kitingan

Deputy CM asserts that the lawyer has no authority to speak for state govt as he was not appointed

Related