KUALA LUMPUR – Polis belum menerima sebarang maklumat berhubung status tahanan rumah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan sama ada beliau dibebaskan dari penjara dan pulang ke rumahnya.
Malah, Ketua Polis Daerah Sentul, Anuar Bakri Abdul Salam berkata keadaan di kediaman Najib di Jalan Langgak Duta juga kekal tenang.
“Setakat ini, kami masih belum menerima sebarang maklumat tambahan daripada Jabatan Penjara,’’ katanya, lapor media.
Sementara itu, media melaporkan sebuah van polis ditempat di kawasan berkenaan manakala beberapa kon keselamatan diletakkan di sepanjang laluan menuju ke kediaman beliau di Jalan Langgak Duta.
Najib, 73, telah menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan atas penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Dalam pada itu, peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata Najib dilarang menggunakan Facebook, mengendalikan podcast dan memberikan temu bual tanpa kebenaran sepanjang menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah,
Menurut Shafee, isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor serta ahli keluarga terdekat yang lain dibenarkan tinggal bersamanya di Langgak Duta.
Ketika menjadi tetamu dalam episod terbaharu program Trick Lama, Shafee berkata, tatacara berkenaan turut memperincikan syarat-syarat tahanan rumah Najib, termasuk individu yang dibenarkan tinggal bersamanya, sekatan terhadap pelawat serta keadaan yang membolehkannya meninggalkan kediaman itu.
Menurut Shafee, aturan itu dijangka berkuat kuasa sehingga Ogos 2028, namun tempoh tambahan setahun akan dikenakan sekiranya Najib gagal membayar denda RM50 juta.
“Jika beliau tidak membayar RM50 juta itu, maka akan ada tambahan setahun lagi. Tempohnya sehingga tarikh yang sama, tetapi pada 2029,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam podcast yang dikendalikan pengarah eksekutif kumpulan Big Boom Media Datuk Ahirudin Attan, yang lebih dikenali sebagai Rocky Bru, Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Zainul Arifin Mohammed Isa dan Ketua Pengarang Terence Fernandez, baru-baru ini.
Pada 18 September lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib dengan membenarkan beliau menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028.
Menurut Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri, pengampunan bersyarat itu yang diputuskan Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-64 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya di Istana Negara, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta. – 16 Oktober, 2026
