◉ HEADLINES

Penemuan kecederaan luar biasa pada badan, JSJ Bukit Aman diarah segera siasat kematian Noorizwan

'Saya telah meminta JSJ, khususnya pengarahnya Datuk M. Kumar, untuk menyiasat kes ini secepat mungkin dan memaklumkan hasil siasatan kepada orang ramai,' kata Mohd Khalid

4:34 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman diarahkan menjalankan siasatan segera berhubung kematian Noorizwan Zulkefly, yang meninggal dunia dalam tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, susulan penemuan beberapa kecederaan luar biasa pada tubuhnya.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata penemuan kecederaan itu memerlukan penelitian lanjut.

“Saya telah meminta JSJ, khususnya pengarahnya Datuk M. Kumar, untuk menyiasat kes ini secepat mungkin dan memaklumkan hasil siasatan kepada orang ramai.

“Pada masa sama, sebaik sahaja kita menerima laporan bedah siasat daripada pihak hospital yang menyatakan punca kematian, kita akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai tindakan selanjutnya,” katanya, lapor Bernama.

Noorizwan Zulkefly, 42, ditahan polis Cheras pada 19 September lalu bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Allahyarham meninggal dunia ketika dalam tahanan polis pada 1 Oktober lepas.

Semalam Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan polis menjalankan siasatan menyeluruh, telus dan tanpa kompromi berhubung kematian Noorizwan.

Perdana Menteri memberitahu beliau telah berhubung dengan Mohd Khalid bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kes berkenaan.

Sementara Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Aida Abdul Hamid dalam kenyataan berkata bedah siasat yang dijalankan ke atas Noorizwan mendapati tiada sebarang kecederaan pada bahagian organ dalaman namun terdapat beberapa kecederaan pada bahagian luaran.

Menurutnya, punca kematian telah dinyatakan sebagai pending laboratory analysis (menunggu keputusan analisis makmal) dan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Mengulas lanjut, Mohd Khalid berkata Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), yang bertanggungjawab menyiasat kes kematian dalam tahanan yang diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut, telah mengeluarkan kenyataan berhubung kes itu.

Bagaimanapun, polis masih menunggu laporan makmal bagi menentukan punca sebenar kematian Noorizwan, tambah beliau. – 25 Oktober, 2026

Topics

 

◉ Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

DoSM estimates Malaysia’s population to be 34.1 mil in 2024

Three states with the highest population are Selangor, Johor, Sabah

◉ Related