PUTRAJAYA – Bekas Undang Luak Sungai Ujong Datuk Mubarak Thahak dan lima individu lain hari ini gagal menangguhkan prosiding komital selepas Mahkamah Rayuan menolak permohonan mereka sementara menunggu keputusan rayuan.
Panel tiga hakim yang terdiri daripada Datuk Alwi Abdul Wahab, Datuk Dr Shahnaz Sulaiman dan Datuk Amarjeet Singh sebulat suara menolak permohonan itu serta memerintahkan enam perayu membayar kos sebanyak RM60,000 kepada responden, iaitu Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan (DKU) serta Setiausahanya, Raja Norazli Raja Nordin.
Enam individu itu mengemukakan permohonan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Seremban membenarkan DKU dan Raja Norazli untuk memulakan prosiding komital terhadap mereka atas dakwaan melanggar perintah injunksi.
Selain Mubarak, lima yang lain ialah Undang Luak Jelebu Datuk Maarof Mat Rashad, Undang Luak Johol Datuk Muhammed Abdullah, Undang Luak Rembau Datuk Abdul Rahim Yasin, Tunku Besar Tampin Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri dan Shahbandar Sungai Ujong Datuk Seri Badarudin Abdul Khalid.
Hakim Amarjeet berkata prosiding komital itu secara langsung melibatkan bidang kuasa mahkamah untuk menghalang campur tangan yang tidak wajar terhadap pentadbiran serta memelihara kewibawaan mahkamah demi kepentingan awam.
“Memandangkan sifat prosiding berkenaan, permohonan komital perlu dilaksanakan dengan segera demi keadilan,” katanya ketika menyampaikan keputusan panel berkenaan.
Beliau berkata isu yang dibangkitkan oleh enam individu itu berhubung dakwaan kekebalan mereka perlu diputuskan selepas, dan bukannya sebelum pendengaran substantif prosiding komital berkenaan.
Mahkamah juga mendapati perayu tidak jujur dalam perkara itu kerana mereka memohon remedi ekuiti, sedangkan pada masa yang sama memfailkan satu lagi permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung isu sama.
Hakim Amarjeet berkata perayu juga gagal memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi mengenai kewujudan perintah injunksi itu serta fakta bahawa kebenaran untuk memulakan prosiding komital terhadap mereka telah pun diberikan.
Pertikaian undang-undang itu bermula pada 5 Mei lepas apabila Mubarak dan lima lagi memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan salinan minit mesyuarat khas DKU yang diadakan pada 17 April lepas.
Antara kandungan minit mesyuarat itu ialah keputusan untuk melucutkan Mubarak sebagai Undang Luak Sungai Ujong.
Pada 5 Jun lepas, Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah injunksi ad interim bagi mengekalkan status quo, khususnya komposisi DKU dan kedudukan Raja Norazli sebagai Setiausahanya, sementara menunggu keputusan mahkamah mengenai isu bidang kuasa serta sama ada pertikaian itu boleh diadili, dan sehingga perintah selanjutnya dikeluarkan.
Bagaimanapun, Raja Norazli mendakwa laporan media pada hari yang sama menunjukkan plaintif, khususnya Maarof, terlibat dalam proses pelantikan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan mengikut Perkara 11 Perlembagaan Negeri Sembilan 1959 walaupun perintah injunksi itu masih berkuat kuasa.
Beliau mendakwa tindakan itu dibuat dengan mengetepikan perintah mahkamah.
Susulan dakwaan pelanggaran itu, Raja Norazli dan DKU memohon kebenaran Mahkamah Tinggi untuk memulakan prosiding komital terhadap keenam-enam individu berkenaan atas dakwaan menghina mahkamah. – 4 November, 2026
