Keputusan PRN di 6 negeri kekal berstatus quo?

Menurut Ilham Centre, dapatan itu disimpulkan berdasarkan tiga elemen utama iaitu peratusan keluar mengundi, kebolehpindahan undi PH-BN dan pola undi anak muda

6:29 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Badan penyelidikan Ilham Centre meramalkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, esok akan kekal berstatus quo.

Dapatan kajian membabitkan 2,304 penduduk di enam negeri itu bermula 29 Julai hingga 8 Ogos lalu mendapati gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) kekal berkuasa di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Sementara itu, Perikatan Nasional (PN) yang diwakili PAS, Bersatu dan Gerakan pula akan kekal mentadbir di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Menurut panel penyelidikan Ilham Centre yang diketuai Pengarah Eksekutifnya, Hisommudin Bakar, dapatan itu disimpulkan berdasarkan tiga elemen utama iaitu peratusan keluar mengundi, kebolehpindahan undi PH-BN dan pola undi anak muda.

PN sukar mencabar gabungan PH-BN kerana undi asas BN dalam kalangan pengundi Melayu terlalu besar – Gambar Scoop, 11 Ogos, 2023

Katanya, PN akan melebarkan pengaruhnya di Selangor namun ia diramal kekal milik PH-BN yang mempertaruhkan prestasi cemerlang pentadbiran kerajaan negeri dengan PN bergelut mencari strategi untuk mendapat sokongan pengundi bukan Melayu.

Malah beliau berkata, kempen agresif PN menakutkan pengundi bukan Melayu menyebabkan golongan itu dijangka terus memangkah PH-BN dengan jangkaan peratusan keluar mengundi tertinggi di Selangor.

“PN perlu memperolehi 70 peratus dan ke atas sokongan Melayu untuk melepasi jumlah undi untuk menang. Mereka berpeluang menambah kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) bermajoriti Melayu namun tidak berupaya untuk mengambil alih kerajaan negeri.

“Kerusi seperti di anjung utara Selangor terdedah kepada penguasaan PN. Kerusi milik PH seperti Sungai Ramal, Morib dan Hulu Bernam. PKR bergoyang di Sementa dan Sungai Kandis. Hulu Kelang kerusi sengit dan sukar dibuat bacaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kempen agresif PN menakutkan pengundi bukan Melayu menyebabkan golongan itu dijangka terus memangkah PH-BN dengan jangkaan peratusan keluar mengundi tertinggi di Selangor – Gambar Scoop, 11 Ogos, 2023

Sementara itu, di Negeri Sembilan pula, beliau berkata, PN sukar mencabar gabungan PH-BN kerana undi asas BN dalam kalangan pengundi Melayu terlalu besar, manakala PH pula menguasai kawasan bercampur dan majoriti Cina.

“Rumusan untuk Negeri Sembilan hanya tiga DUN berlaku tentangan sengit iaitu Ampangan, Bagan Pinang dan Gemas. Ini sahaja ruang untuk PN menafikan penguasaan total milik PH-BN,” katanya.

Di Pulau Pinang, Hisommudin berkata, PN berpotensi menang di DUN majoriti Melayu seperti Penaga, Pinang Tunggal, Permatang Berangan dan Sungai Dua manakala Telok Ayer Tawar, Permatang Pasir dan Penanti termasuk dalam kategori sengit.

Katanya, Kelantan diramal kekal milik PN walaupun wujud ketidakpuasan hati rakyat di negeri itu terhadap pentadbiran kerajaan negeri dengan hanya 57 peratus bersetuju PAS kekal berkuasa.

“Namun keadaan terjadi sebaliknya selepas penamaan calon apabila pengundi menyifatkan gabungan PH-BN tidak serius untuk mengambil alih kerajaan.

“Ketiadaan tokoh berwibawa di negeri itu menyebabkan pengundi mungkin kurang berpuas hati, hilang keterujaan untuk mengubah undi mereka kepada PH-BN,” katanya.

Kelantan diramal kekal milik PN walaupun wujud ketidakpuasan hati rakyat di negeri itu terhadap pentadbiran kerajaan negeri dengan hanya 57 peratus bersetuju PAS kekal berkuasa – Gambar Scoop, 11 Ogos, 2023

Beliau berkata, hanya kerusi Kota Lama dan Galas di Kelantan yang berpotensi tinggi dan dalam keadaan 50-50 yang memerlukan undi Cina membantu di dua kerusi itu.

Di Terengganu, katanya, hanya Telemung jelas berada dalam tangan PH-BN ketika ini, selain undi putih Umno diperlukan di Kijal, Seberang Takir dan Permaisuri untuk gabungan itu menyaingi PAS, manakala DUN Bandar dijangka sengit atas faktor undi bukan Melayu.

Beliau berkata, Kedah turut berada di kelas tersendiri dengan faktor Menteri Besarnya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sudah memadai menyekat hasrat PH-BN untuk merampas negeri tersebut.

“Kesilapan strategi kempen menyebabkan kerusi milik PH-BN terdahulu mungkin hilang dari genggaman. PN juga mampu menyapu hampir semua kerusi jika peratusan pengundi Cina keluar mengundi rendah.

“Namun kerusi Derga, Darul Aman, Sidam dan Bakar Arang ada peluang buat PH. Undi Umno perlu keluar maksimum bagi DUN Pedu dan Sungai Tiang untuk menang,” katanya. – 11 Ogos, 2023

Topics

Hangat

Saya juga manusia, punya hati: Ning Baizura sedih, terguris diri digelar Kristian, keluarga dikritik

Jelas Ning, beliau kecewa kerana daripada satu perkara kecil, ia diperbesarkan segelintir netizen, termasuk menyerang Instagramnya dengan kata-kata hinaan

Iranian President Ebrahim Raisi confirmed dead as burnt helicopter wreckage found

No survivors have been found since crashed helicopter site was discovered, says Iranian Red Crescent Society

‘Sanusi pakai baju label KK Mart pada 2023, bukan sekarang’, pegawai perjelas kontroversi

Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memakai baju t dengan label KK Mart semasa merasmikan satu kejohanan ragbi pelajar di UUM Sintok, pada tahun lepas dan bukan acara terkini.

Related