HEADLINES

Portfolio 10 exco Selangor dimuktamad selepas bertemu PM malam ini: MB Selangor

Beliau turut akan berbincang dengan pihak kepimpinan utama berkaitan soal portfolio berkenaan

11:31 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Portfolio 10 ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) Selangor akan dimuktamadkan selepas pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden Pakatan Harapan (PH), malam ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau turut akan berbincang dengan pihak kepimpinan utama berkaitan soal portfolio berkenaan.

“Saya cuma maklumkan kepada Perdana Menteri. Pasti beliau mungkin ada idea tentang agihan exco ataupun portfolio.

“(Jadi) malam ini saya akan bersama beliau untuk memuktamadkan senarai tersebut. Kalau ada perubahan malam nanti ia amat minimum,” katanya pada sidang media khas di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah dekat Shah Alam, hari ini.

Menurutnya, setiap exco akan dimaklumkan mengenai portfolio masing-masing selepas mesyuarat pertama bersama keanggotaan itu esok.

“Esok adalah mesyuarat exco pertama. Selepas itu saya akan maklumkan portfolio dan terangkan kepada mereka fungsi-fungsi dan tugas masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, Amirudin turut memaklumkan pelantikan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hanya akan diketahui selepas sambutan Hari Malaysia pada 16 September depan.

“Dewan dijangkakan akan mengangkat sumpah dan pembukaan sidang selepas Hari Malaysia. Saya akan umumkan pelantikan Speaker dengan sidang pertama itu akan dibuat serentak ataupun dibuat sehari awal sebelum majlis angkat sumpah,” katanya.

Semalam, 10 exco terbabit mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah dekat Klang.

Bekas Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim dari DAP antara tujuh exco yang mengangkat sumpah jawatan dan ikrar aku janji sebagai exco kerajaan negeri Selangor.

Enam yang lain adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Air Tawar, Datuk Rizam Ismail; Adun Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi; Adun Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin, Adun Banting, V Papparaidu; Adun Seri Setia, Dr Mohammad Fahmi Ngah dan Adun Taman Templer, Anfaal Saari.

Sementara itu, tiga bekas exco yang dilantik semula adalah Adun Kinrara, Ng Sze Han, Adun Pandan Indah, Izham Hashim dan Adun Tanjong Sepat, Borhan Aman Shah.

Dari segi komposisi parti pula, seramai tiga Adun mewakili PKR iaitu Borhan, Mohd Najwan dan Mohammad Fahmi manakala DAP diwakili empat Adun membabitkan Sze Han, Suee Lim, Jamaliah dan Papparaidu.

Amanah pula diwakili dua Adun iaitu Izham dan Anfaal manakala Barisan Nasional (BN) diwakili Rizam. – 22 Ogos, 2023

Topics

 

Hangat

3 senior Telekom Malaysia officers charged in US over US$20m embezzlement scheme

US prosecutors expose a sophisticated, multi-year insider scam at TM’s US subsidiary involving data capacity manipulation, phantom employees, and the use of AI-assisted tools to siphon millions

Solat Jumaat di pusat beli-belah: Zulkifli galak negeri lain turut serta

Menteri Agama Dr Zulkifli Hasan mengalu‑alukan negeri lain mencontohi Wilayah Persekutuan yang sudah mula laksana solat Jumaat di pusat beli‑belah, sambil merancang perluasan ke terminal, lapangan terbang dan R&R lebuh raya

Jana Wibawa: Muhyiddin’s trial continues as appeals court rejects bid to reinstate acquittal

Five-judge panel dismisses Bersatu president’s application to review findings which led to four charges related to RM232.5 mil in bribes being reinstated in Feb

Related