Kami tidak berebut jawatan dalam Amanah, tumpu bina parti : Mujahid

Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata, banyak isu lain yang perlu ditumpukan oleh parti khususnya memperkukuhkan kerajaan Madani

6:18 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kepemimpinan dalam Parti Amanah Negara (Amanah) tidak berebut jawatan sebaliknya lebih tertumpu kepada usaha membina parti supaya ia dapat berkembang dengan lebih pesat, kata Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa.

Beliau sekali gus menempelak dakwaan pihak tertentu kononnya wujud dua kem dalam parti itu menjelang pemilihan Disember ini.

“Perwakilan perlu memilih 27 calon terbaik dan keputusan untuk jawatan tertinggi hanya akan diputuskan dalam kalangan 27 orang yang menang itu.

“Saya yakin dalam Amanah kami tidak berebut jawatan tetapi lebih tertumpu untuk membina parti supaya dapat berkembang dengan lebih pesat,” katanya kepada Scoop hari ini.

Mujahid yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak berkata, banyak isu lain yang perlu ditumpukan oleh parti khususnya memperkukuhkan kerajaan Madani.

“Ia termasuk memberi pemahaman kepada orang ramai termasuk mengenai Bajet Madani yang akan dibentang tidak lama lagi,” katanya.

Sebelum ini terdapat laporan yang memetik sumber, yang mendakwa cadangan menonjolkan Naib Presiden Amanah, Adly Zahari sebagai calon Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) baru-baru ini dilihat tidak sekadar mengisi kekosongan ditinggalkan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub sebaliknya ia dikatakan sengaja dibuat sebagai sebahagian daripada percaturan Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu, menghadapi pemilihan dalam parti itu tidak lama lagi.

Ada yang mendakwa cadangan menonjolkan Naib Presiden Amanah, Adly Zahari sebagai calon Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) baru-baru ini dilihat tidak sekadar mengisi kekosongan ditinggalkan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub – Gambar Facebook, 29 September, 2023

Beberapa sumber memberitahu, kedudukan Mohamad selaku presiden Amanah ketika ini tidak begitu kukuh dan ada kemungkinan beliau dicabar bagi menghidupkan amalan demokrasi parti.

Seorang lagi sumber dalaman memaklumkan Mohamad dijangka berdepan saingan daripada Mujahid yang menjadi calon kem yang tidak sehaluan dengannya.

Perlembagaan Amanah menetapkan seseorang hanya boleh menjadi presiden selama tiga penggal berturut-turut. Jika Mohamad terpilih sekali lagi, ia merupakan penggal terakhirnya untuk mengetuai parti tersebut.

Amanah akan mengadakan pemilihan peringkat nasional pada 23 dan 24 Disember ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Hulu Langat dari Amanah, Mohd Sany Hamzan pula berpandangan lebih realistik dan menyifatkan spekulasi adalah sebahagian asam garam politik terutama menjelang pemilihan parti.

Mohd Sany Hamzan pula berpandangan lebih realistik dan menyifatkan spekulasi adalah sebahagian asam garam politik terutama menjelang pemilihan parti – Gambar Scoop, 29 September, 2023

“Bila nak tiba musim pemilihan macam-macamlah orang bercakap, yang nak buat telahan atau nak bagi pandangan itu tak salah.

“Tetapi kesudahan yang akan menentukan siapa yang akan jadi presiden, timbalan dan naib semuanya adalah perwakilan yang memilih 27 individu terbabit,” katanya.

Beliau juga tidak menafikan setiap kali pemilihan pasti ada pihak yang akan terluka.

“Ini (sebahagian) politik, dia ada (sasaran) nak untuk tempat pertama, kalau kata tiada bohonglah, mesti ada. Bila ada pemilihan ini pasti ada yang akan terluka, perkara seperti ini pasti ada, cuma bagaimana kita hendak menguruskannya.

“Kepada yang terluka itu, jangan luka lama-lama sangat maksudnya lepas itu kita kena kembali semula perkuatkan parti. Kepimpinan ini akan datang dan pergi tetapi apa yang paling penting adalah kestabilan dan kekukuhan parti harus terus diperkasa,” katanya. – 29 September, 2023

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Lazada’s Malaysian office not spared from major layoffs

Employees across various departments at Lazada Malaysia's office have allegedly been informed about an impending meeting with the company's human resources team in the next few days. 

Ibu Zayn Rayyan ‘tinggalkan’ media sosial, tak tahan komen jahat netizen kaitkan dengan pembunuhan

Menurut Zahari Mohd Reba, menantunya itu masih lagi trauma dan terkesan di atas kehilangan Zayn Rayyan, yang ditemukan mati dibunuh di saliran air kira-kira 100 meter dari kediaman mereka di Apartmen Idaman, Damansara Damai pada 6 Disember tahun lalu

Related