Suspek curi buah sawit diberkas, polis buru pula individu kebas barang runcit

Dalam kes kecurian di premis runcit itu, suspek mengambil pelbagai jenis ikan, 20 ekor ayam dan daging yang kesemuanya berharga RM1,000

4:12 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Polis menahan tiga lelaki tempatan kerana disyaki terbabit dalam kes mencuri buah sawit di Batu Pahat, Johor sebelum video kejadian itu tular di media sosial sejak kelmarin.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, susulan tangkapan itu, semua suspek yang berusia di antara 30 hingga 66 tahun terbabit, ditahan reman dua hari bagi membantu siasatan.

Menurutnya, kebenaran menahan reman suspek dikeluarkan Majistret Mahkamah Batu Pahat.

“Pada 26 Disember lalu, tular rakaman video di media sosial memperlihatkan dua lelaki ditegur orang awam kerana mencuri buah sawit dengan menggunakan sebuah kereta.

“Susulan itu, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Batu Pahat membuat tangkapan ke atas tiga lelaki tempatan.

“Turut dirampas ketika tangkapan itu adalah beberapa tandan buah sawit serta sebuah kenderaan yang digunakan dalam kejadian terbabit,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Beliau berkata, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

“Jika disabitkan kesalahan, pelaku boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Pihak polis mengucapkan terima kasih kepada individu yang menyalurkan
maklumat terbabit melalui soasial media, sehingga tertangkap penjenayah.

“Keprihatinan masyarakat membantu dalam usaha pembenterasan jenayah di sekitar Batu Pahat amat dihargai,” katanya.

Terdahulu, tular tindakan dua lelaki didakwa mencuri buat sawit di ladang tanaman itu dalam kuantiti banyak dan sedang memasukannya ke dalam kenderaan.

Ketika ditegur seorang lelaki yang bertanya adakah mereka ingin dia melaporkan kecurian itu kepada polis, seorang daripada suspek meminta supaya dia tidak berbuat demikian.

Sementara itu, dalam kes jenayah berasingan di negeri sama, polis menerima laporan daripada pekerja kedai runcit di tepi jalan Parit Dato On, Parit Panjang Ayer Baloi, Pontian mengenai kehilangan barangan di premis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superitendan Mohammad Shofee Tayib berkata, menerusi laporannya, pekerja itu mendakwa dia membuka kedai dan memeriksa barangan runcit untuk jualan pada kira-kira jam 8 pagi semalam.

Tegasnya, selepas diperiksa, dia mendapati beberapa jenis barang runcit di premis hilang, iaitu pelbagai jenis ikan, 20 ekor ayam dan 12 kilogram (kg) daging.

“Anggaran kerugian lebih kurang RM 1,000. Satu laporan polis dibuat pada jam 3.36 petang berkaitan kes ini.

“Bertindak atas maklumat, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Pontian menialankan siasatan dan mendapati ada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) diperolehi dari kedai runcit terbabit,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam rakaman CCTV itu, terlihat seorang lelaki yang menaiki sebuah kenderaan, melakukan jenayah curi di hadapan kedai runcit berkenaan.

Jelasnya, seorang rakannya berperanan sebagai pemandu kenderaan terbabit.

Shofee berkata, pasukan operasi jenayah IPD Pontian ditugaskan bagi mengesan penjenayah yang mencuri barang runcit itu.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dihukum penjara hingga tuiuh tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya,” katanya.

Pada masa sama, Shofee menasihatkan orang ramai agar memberi kerjasama dalam menyalurkan maklumat mengenai kejadian itu.

“Sekiranya ada saksi bebas yang melihat kejadian terbabit, diminta tampil ke Bahagian Siasatan Jenayah IPD Pontian untuk memberi keterangan berkenaan jenayah ini,” katanya. – 28 Disember, 2023

Topics

Hangat

Saya juga manusia, punya hati: Ning Baizura sedih, terguris diri digelar Kristian, keluarga dikritik

Jelas Ning, beliau kecewa kerana daripada satu perkara kecil, ia diperbesarkan segelintir netizen, termasuk menyerang Instagramnya dengan kata-kata hinaan

Iranian President Ebrahim Raisi confirmed dead as burnt helicopter wreckage found

No survivors have been found since crashed helicopter site was discovered, says Iranian Red Crescent Society

Two bullets, profane letter in my mailbox: Teresa Kok lodges report on death threat

Seputeh MP shares her distress after discovering threatening note while retrieving her mail yesterday; police have inspected the scene at her residence

Related