‘Apakah MB Kedah mahu sabotaj ekonomi negara?’: Asyraf Wajdi bidas SD Sanusi

Dakwaan wujud jumlah SD untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan hanyalah permainan persepsi

3:17 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Dakwaan kononnya wujud jumlah akuan bersumpah (SD) yang mencukupi untuk menubuhkan kerajaan baharu bagi menjatuhkan Kerajaan Perpaduan hanyalah satu permainan persepsi.

Demikian tegas Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki bagi membidas dakwaan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mendakwa Perikatan Nasional (PN) mempunyai jumlah SD mencukupi itu.

Malah beliau melahirkan rasa hairan dengan tahap seorang Menteri Besar yang sanggup bermain dengan persepsi seolah-olah kerajaan akan tumbang dalam masa terdekat.

“Apakah kenyataan seperti ini bertanggungjawab sedangkan kepimpinan PN pun menafikan ada sebarang gerakan seumpama itu?

“Apakah Menteri Besar Kedah mahu mensabotaj ekonomi negara yang hari ini sudah melalui fasa pemulihan selepas mendapat keyakinan dan kepercayaan pelabur bahawa politik tanah air sudah stabil?

“Apakah beliau mahu membiarkan rakyat terus menderita selama bertahun-tahun selepas kejatuhan Barisan Nasional (BN) pada 2018 sehingga menyebabkan ekonomi merudum teruk dan kos sara hidup meningkat lantaran pelabur yang keluar akibat politik tidak stabil?” Soalnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah, baginya, semua dakwaan kewujudan SD ini hanyalah mainan persepsi berdasarkan tiga faktor.

Pertamanya kata beliau, Yang di-Pertuan Agong sudah berkali-kali bahawa Seri Paduka tidak akan melayani sebarang persembahan SD untuk menukar kerajaan.

“Faktor kedua, pembangkang yang hanya tinggal 69 (Ahli Parlimen) orang memerlukan 43 orang lagi untuk mencukupkan 112 (jumlah majoriti mudah).

“Gabungan Parti Sarawak (GPS) terutamanya Ahli Parlimen bukan Islam sudah menyatakan dengan tegas tidak akan menyokong PN kerana dalamnya ada parti ekstrem PAS. Ahli Parlimen BN pula terikat dengan kontrak RM100 juta bon yang harus dibayar jika beralih sokongan,” katanya.

Beliau berkata, peluang terakhir untuk menukar kerajaan adalah hanya melalui Usul Tidak Percaya di Parlimen.

“Kalau pun ada ahli-ahli Parlimen yang menandatangani SD, bermakna mereka sendiri takut untuk menzahirkan sokongan terbuka. Mungkin sebab itulah pembangkang tidak berani mencadangkan usul tidak percaya walaupun berkali-kali Perdana Menteri mencabar mereka melakukannya.

“Maka titik noktahkan sahaja polemik SD yang tidak menguntungkan ini. Tunggulah empat tahun sahaja lagi untuk pilihan raya Umum diadakan bagi memenuhi nafsu pembangkang menjadi kerajaan,” katanya.

Semalam Sanusi mendakwa PN mempunyai jumlah SD mencukupi untuk menubuhkan kerajaan baharu.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Pilihan Raya PN itu tidak memperincikan dakwaan tersebut termasuk jumlah SD yang diperolehi.

Sejak kebelakangan ini, hangat diperkatakan mengenai ‘Langkah Dubai’ yang didakwa dirancang segelintir pihak untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menegaskan ‘Langkah Dubai’ tidak akan memberikan kesan kepada Kerajaan Perpaduan. – 8 Januari, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Where is Sabah AG Nor Asiah on 40% grant revenue issue, ask state advocates

Former assemblyman says AG should be at the forefront in advocating for Sabah's rights

Saya juga manusia, punya hati: Ning Baizura sedih, terguris diri digelar Kristian, keluarga dikritik

Jelas Ning, beliau kecewa kerana daripada satu perkara kecil, ia diperbesarkan segelintir netizen, termasuk menyerang Instagramnya dengan kata-kata hinaan

Related