HEADLINES

Dua beranak antara tiga dipercayai terlibat sindiket edar dadah 

Rampasan dadah itu antaranya melibatkan sebanyak 16.47 kilogram serbuk ekstasi, 7.77 kilogram ganja dan 1.77 gram syabu

2:23 PM MYT

 

JOHOR BAHRU – Ibu dan anak merupakan antara tiga individu yang ditahan dipercayai terlibat sindiket pengedaran dadah, membabitkan rampasan bernilai RM1.23 juta dalam serbuan sekitar daerah ini dan Iskandar Puteri pada 10 hingga 14 Jan lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata wanita berusia 61 tahun dan anak lelaki berusia 40 tahun serta seorang rakan lelaki berusia 59 tahun itu, ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor dalam satu operasi khas.

Beliau berkata ketiga-tiga individu itu dipercayai terlibat dengan sindiket pengedaran dadah dalam pasaran tempatan, semenjak Oktober tahun lepas. 

“Modus operandi sindiket ini adalah menjadikan sebuah pangsapuri yang disewa di sini sebagai stor penyimpanan dadah sebelum diedar ke pasaran tempatan.

“Malah, sindiket yang dipercayai didalangi lelaki berusia 40 tahun itu, turut melakukan kerja-kerja memproses dan membungkus dadah tersebut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.

Beliau berkata rampasan dadah bernilai RM1.23 juta itu antaranya melibatkan sebanyak 16.47 kilogram serbuk ekstasi, 7.77 kilogram ganja dan 1.77 gram syabu.   

Kamarul Zaman berkata polis turut merampas pelbagai peralatan mencetak pil ekstasi termasuk pencetak, pengisar, penimbang, loyang, penapis dan lima butir peluru hidup.

Sementara itu, beliau berkata hasil siasatan mendapati, lelaki berusia 40 tahun itu positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai 46 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah selain dikehendaki dalam enam kes membabitkannya. 

Beliau berkata tahanan reman ketiga-tiga individu tersebut disambung sehingga 23 Jan setelah ditahan seminggu sejak 11 Jan lepas.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960. – 17 Januari, 2024

Topics

 

Hangat

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

Harimau Malaya is TMJ’s vision: CEO

Rob Friend describes Johor Crown Prince as 'the visionary' behind Harimau Malaya’s heritage player initiative

DoSM estimates Malaysia’s population to be 34.1 mil in 2024

Three states with the highest population are Selangor, Johor, Sabah

Related