Keputusan kes Nik Elin: Pindaan Perlembagaan harus disegerakan cegah pertikaian bidang kuasa perundangan

Tuan Ibrahim berkata, isu itu tidak harus dipolitikkan tetapi ini saat bagi umat Islam bersatu memperkuat peranan syariah

3:09 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pindaan Perlembagaan harus dilakukan segera untuk mencegah mana-mana pihak mempertikaikan bidang kuasa perundangan negeri, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Raja-Raja sebagai ketua agama dalam melaksanakan tugas mereka sebagai pelindung agama Islam di setiap negeri.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ini kerana kaedah perbicaraan dan syarat menjadi hakim dalam mahkamah syariah jelas berbeza daripada syarat dalam mahkamah sivil.

Menurutnya, bahkan, syarat menjadi saksi serta kaedah perundangan Islam memiliki sistemnya yang tersendiri.

“Maka, menyatakan bahawa mahkamah sivil juga sama dalam membicarakan kes-kes takzir adalah tidak tepat, kerana syarat saksi dan hakim tidak memenuhi syarat dalam sistem perundangan Islam.

“Peristiwa ini mendedahkan kesan dramatis ditinggalkan penjajah, yang secara tidak langsung mengubah landskap perundangan negara kita, meskipun pelbagai usaha dilakukan sehingga terbentuknya sistem mahkamah syariah.

“Namun ia tetap masih jauh dari mencapai kesempurnaan hukum Islam secara menyeluruh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata demikian bagi mengulas mengenai keputusan Mahkamah Persekutuan semalam yang mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, adalah terbatal dan tidak sah.

Panel sembilan hakim dalam keputusan majoriti 8-1 diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan demikian selepas membenarkan petisyen peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman selaku pempetisyen bagi mencabar 18 peruntukan enakmen itu manakala kerajaan Kelantan selaku responden tunggal.

Dengan keputusan itu, Badan Perundangan Negeri Kelantan tidak lagi mempunyai bidang kuasa menggubal 16 peruntukan undang-undang yang dipertikaikan itu, hanya dua undang-undang Seksyen 13 dan 30 yang dibenarkan.

Mengulas lanjut Tuan Ibrahim berkata, pertindihan kesalahan antara mahkamah syariah dan mahkamah sivil seharusnya selesai sejak adanya peraturan yang membahagikan bidang kuasa antara negeri dan Persekutuan.

“Sesuatu Rang Undang-Undang (RUU) yang dibahas dalam DUN sudah melalui penapisan dan penelitian dari Penasihat Undang-Undang Negeri iaitu wakil dari Pejabat Peguam Negara.

“Beliau tentunya sudah meneliti secara mendalam sebelum RUU tersebut digubal untuk dibawa ke DUN. Selepas diluluskan, RUU tersebut sekali lagi dipersembahkan kepada Raja-Raja Melayu di setiap negeri sebagai pemimpin agama Islam negeri-negeri,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengakui keputusan Mahkamah Persekutuan itu menimbulkan kekecewaan mendalam dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Katanya, penegasan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, bahwa keputusan itu tidak berkaitan dengan doktrin Islam, tetapi lebih kepada interpretasi undang-undang, merupakan suatu yang perlu direnungi bersama dalam konteks penghormatan terhadap kedudukan syariah dalam Perlembagaan negara.

“Asas utama penghakiman adalah kerana kesalahan tersebut sudah ada dalam Kanun Keseksaan. Oleh itu, Mahkamah Syariah tidak sepatutnya membicarakan kes sama.

“Pertanyaannya, siapakah yang terlebih dahulu menggubal enakmen bagi kesalahan yang dibatalkan itu. Kita mengetahui bahawa undang-undang Islam digubal jauh lebih awal sebelum kedatangan Barat ke Tanah Melayu, bahkan sebelum wujudnya Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata, dengan pembatalan itu ramai pihak seharusnya bertanggungjawab dalam perkara tersebut.

“Namun, yang jelas, bidang kuasa Mahkamah Syariah semakin terhakis dan peranannya dalam melaksanakan perintah Allah menjadi semakin mencabar.

“Keputusan ini menunjukkan bahawa hukum syarak, yang sepatutnya menjadi panduan mutlak dalam pelaksanaan ajaran Allah, kini terasa semakin terpinggir di bawah bayang-bayang undang-undang ciptaan manusia yang bersifat sekular,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, isu tersebut tidak harus menjadi bahan politik oleh mana-mana pihak, khususnya dalam kalangan umat Islam, kerana keharusan untuk melaksanakannya adalah perintah Allah yang jelas.

“Usaha untuk memperjuangkan kedudukan hukum syarak tidak seharusnya menimbulkan perpecahan atau dipolitikkan. Sebaliknya, ini adalah saat bagi umat Islam dan pihak berwajib untuk bersatu, mencari solusi memperkuat peranan syariah.

“Kita harus mengambil pelajaran dari kejadian ini sebagai momentum bergerak ke depan tanpa putus asa sehingga perundangan syariah dapat terus menjadi cahaya petunjuk dalam kehidupan beragama dan bermasyarakat, sejalan dengan prinsip keadilan dan kebenaran diajarkan Islam,” katanya. -10 Februari, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

KL entertainment centre targeted in suspected petrol bomb attack

Police investigating incident in Jalan Yap Kwan Seng, captured on CCTV footage around 2.18am yesterday

Ex-Lazada top execs create support groups for retrenched staffers

Several former top executives and managers of embattled Lazada have started unofficial support groups to help recently retrenched colleagues in Southeast Asia.

Related