◉ HEADLINES

‘Saya minta PM pecat Menteri Kewangan kerana prestasi lebih teruk’: Hamzah

Desakan itu susulan kegagalan Anwar dalam menangani isu kejatuhan ringgit

5:15 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pembangkang mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya memecat dirinya sebagai Menteri Kewangan susulan kegagalan beliau dalam menangani isu kejatuhan nilai ringgit ketika ini.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, prestasi Anwar sebagai Menteri Kewangan lebih teruk berbanding Menteri Kewangan ketika zaman pentadbiran Perikatan Nasional (PN).

“Ketika bergelar Ketua Pembangkang (sebelum ini) YB (Yang Berhormat) Tambun boleh marah Menteri Kewangan (zaman PN) sebab ringgit jatuh.

“Sekarang ini YB Tambun Perdana Menteri… yang memegang tampuk (pemerintahan) Perdana Menteri. YB Tambun patut marah juga Menteri Kewangan yang ada sekarang ini.

“(Jadi) Kena pecat Menteri Kewangan yang ada hari ini kerana prestasi Menteri Kewangan lebih teruk daripada Menteri Kewangan sebelum ini. Saya minta Perdana Menteri pecat Menteri Kewangan yang ada hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, Anwar sepatutnya menangani situasi sukar itu dengan berani dan bertanggungjawab atas kegagalannya.

“Semasa kempen PRU-15 (Pilihan Raya Umum ke-15) pada 15 November 2022, apa kata YB Tambun, (Ketua Pembangkang ketika itu) … (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) ringgit jatuh, (Datuk Seri) Ismail Sabri (Yaakob) ringgit jatuh, Muhyiddin harga barang naik, Ismail Sabri harga barang naik, sebab tu kena tukar bagi ke Anwar kerana Anwar harga barang akan turun.

“Lepas tu tak apa, dia sebut lagi pada 16 November 2022 bagi saya jadi Perdana Menteri supaya harga barang turun dan ringgit naik. Tiba-tiba sembang kari hari ini. Dia kata apa… jangan jadikan isu kelemahan ringgit sebagai senjata politik.

“Apa nak jadi? Bila kena batang hidung, dia taichi habis. Saya nak ingatkan Perdana Menteri. Anda adalah Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Take the bull by the horns and be responsible (harus berani dan bertanggungjawab),” katanya.

Pada masa sama, Hamzah turut mempersoalkan tindakan kerajaan yang tidak mengumumkan sebarang pelan kontingensi (kecemasan) dalam menangani situasi tersebut.

“Kenapa tak ditubuhkan jawatankuasa khas untuk diumumkan pelan kontigensi dengan segera… cari jalan keluar dan selamatkan negara,” katanya.

Sebelum ini, Anwar menemplak segelintir pihak supaya jangan menjadikan isu kejatuhan ringgit sebagai alat “sepak terajang” politik sehingga tidak bersandarkan kepada fakta.

Perdana Menteri berkata, Malaysia mencatatkan jumlah pelaburan tertinggi dalam sejarah pada tahun lalu, dengan kadar inflasi dan pengangguran menurun, selain pertumbuhan ekonomi dapat dipertahan dalam keadaan dunia berdepan kelembapan ekonomi.

“Walaupun ada masalah ringgit tapi pelaburan pada tahun lalu tertinggi dalam sejarah. Kadang-kadang orang lupa, bila jadi isu politik, dia nak hentam saja.

“Jika dunia tidak ada keyakinan, pelaburan tentunya perlahan. Kita bimbang kalau ringgit jatuh, kemudian inflasi naik, pertumbuhan terbantut, pelaburan tak dapat, itu kita bimbang tapi sekarang semua angka dan data ekonomi menunjukkan kita di landasan yang betul.

“Sebab itu, sementara kita cari jalan untuk perbaiki, janganlah jadikan ini sebagai sepak terajang politik sehingga tidak berdasarkan kepada fakta,” katanya. – 27 Februari, 2024

Topics

 

◉ Hangat

Schools may close if air quality worsens, five areas hit unhealthy levels: DOE

The department said the areas recorded unhealthy API readings, warns of RM1mil fine for open burning offenders

Malaysia Airlines, SIA join rush to cancel Middle East flights as Iran-US-Israel strikes escalate

More countries announce airspace closures as carriers suspend flights on Feb 28 and March 1, passengers reminded to check for updates on subsequent flights

Melaka schools to reopen on Oct 12 as API readings fall below 100

Air quality readings at all three monitoring stations in the state remain in the moderate range, with parents advised to monitor their children's health

◉ Related