Siapa mampu selamatkan Bersatu?

Sama ada Hamzah atau Muhyiddin atau pemimpin lain, individu itu akan melalui tempoh sukar kerana Bersatu bergelut dengan ketiadaan hala tuju dan keperluan kewangan

8:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Walaupun pemimpin parti menafikannya, Bersatu boleh melaksanakan rombakan kepimpinan, dengan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dianggap individu paling sesuai diangkat menerajuinya, kata penganalisis.

Di tengah-tengah, cakap-cakap bahawa parti pembangkang itu sudah berpecah kepada dua kem, iaitu mereka yang mahukan perubahan kepimpinan dan menyokong Hamzah memegang jawatan tertinggi parti serta kumpulan menginginkan status quo di bawah Presiden sedia ada, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Hamzah dilihat calon lebih sesuai.

Biarpun Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut tidak sekuat Muhyiddin, penganalisis politik berkata, parti itu amat memerlukan perubahan agar ia kekal relevan dalam landskap politik negara.

Ini lebih-lebih lagi memandangkan perkembangan terkini dalam parti itu yang ‘kehilangan’ enam Ahli Parlimennya selepas mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun mereka tidak keluar daripada Bersatu.

Felo kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Dr Oh Ei Sun berkata, Hamzah boleh dianggap sebagai calon lebih baik sedikit daripada Muhyiddin kerana pemimpin itu tidak menunjukkan prestasi terlalu menonjol dalam peranannya sebagai Ketua Pembangkang.

“Mungkin paling bagus, sedikit lebih baik. Hamzah mungkin berkuasa dalam parti, tetapi beliau tidak mempunyai daya tarikan berkarisma di luar parti, bahkan ‘vis a vis’ (berhadapan) PAS yang sedang meningkat,” katanya kepada Scoop.

Dr Oh Ei Sun berkata, Bersatu memerlukan perubahan untuk kekal relevan dalam landskap politik negara, terutama selepas ‘hilang’ enam Ahli Parlimennya mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – Gambar Facebook Oh Ei Sun, 2 Februari, 2024

Bersatu berada di landasan goyah bukan hanya kerana beberapa Ahli Parlimennya beralih sokongan kepada Anwar, tetapi ia juga diancam PAS, tambah Oh.

“PAS juga bersedia untuk mengambil alih Perikatan Nasional (PN),” katanya.

Menyuarakan sentimen sama, Pakar Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Syaza Shukri yang bersetuju bahawa Hamzah boleh menjadi pilihan lebih baik untuk jawatan Presiden Bersatu.

“Saya tidak fikir Hamzah lebih baik, tetapi beliau dilihat sebagai pemimpin lebih berkeyakinan daripada Muhyiddin,” katanya.

Menjelang mesyuarat Majlis Tertinggi Bersatu pada Ahad, timbul spekulasi mengatakan Hamzah mungkin dipecat sebagai Setiausaha Agung, dengan kemungkinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengambil alih jawatan itu.

Ia susulan khabar angin berlaku perpecahan dalam parti itu selepas enam Ahli Parlimen Bersatu mengisytiharkan sokongan mereka kepada Anwar dan di tengah-tengah kekecohan bahawa Muhyiddin tidak melakukan yang terbaik untuk mengemudi parti itu.

Pakar Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Madya Dr Syaza Shukri bersetuju bahawa Hamzah Zainudin boleh menjadi pilihan lebih baik untuk jawatan Presiden Bersatu. – Gambar iium.edu.my pic, 2 Februari, 2024

Pada November tahun lalu di perhimpunan agung tahunan parti itu, Muhyiddin berkata, beliau tidak akan meneruskan jawatannya sebagai presiden untuk penggal seterusnya, tetapi membuat pusingan-U pada keesokan harinya.

Seorang daripada enam pemimpin parti itu yang beralih sokongan, iaitu Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, lebih ramai ahli parlimen Bersatu akan menyokong Anwar apabila Parlimen bersidang pada akhir Februari ini, sambil menambah mereka yang berbuat demikian kecewa dengan parti berkenaan dan berasa terabai.

Beliau memberitahu media mengenai kekurangan hala tuju dan pembiayaan parti itu, sambil menyatakan Ahli Parlimen Bersatu di negeri pimpinan PAS, kini bergantung kepada peruntukan kewangan daripada rakan gabungan PN mereka.

Lima lagi yang beralih sokongan adalah Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan terbaharu, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Larut dan sertai PAS atau Umno

Dengan kedudukan politik kurang jelas, sama ada dalam gabungan PN atau dalam landskap sosio-politik pan-Melayu, Oh berkata, Bersatu perlu mempertimbangkan untuk membubarkan dan meminta ahlinya menyertai parti lain.

“Sehingga ini (kedudukan dan hala tuju parti) diselesaikan satu cara atau lain, sukar untuk melihat bagaimana ia (parti) boleh dihidupkan semula. Jadi tidak kira siapa yang menerajuinya dalam masa terdekat.

“Jangan bermimpi terlalu tinggi. Hanya bubarkan dan sama ada menyertai PAS atau Umno,” katanya.

Oh berkata, Bersatu ditubuhkan sebagai ‘alat politik mudah’ untuk pengasasnya, Tun Dr Mahathir Mohamad dan kemudian kepada Muhyiddin.

Pengaruh PAS dilihat lebih kuat berbanding Bersatu dan pemimpin mereka bersedia untuk mengambil alih Perikatan Nasional. – Alif Omar/Scoop, 2 Februari, 2024

Dr Mahathir yang mahu menggulingkan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri, mengasaskan Bersatu pada 2016 dan parti itu menyertai Pakatan Harapan (PH) yang memenangi pilihan raya 2018, seterusnya membentuk Kerajaan Persekutuan.

Pada 2020, Muhyiddin menggunakan Bersatu dan beberapa Ahli Parlimen PKR dan PAS untuk menjatuhkan kerajaan PH serta beliau kemudian dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Sekarang Bersatu tiada hala tuju tanpa kepimpinan mereka (Dr Mahathir dan Muhyiddin).

“Adalah dinasihatkan untuk menyelamatkan apa yang tersisa sementara masih ada peluang kerana kedudukannya akan terus merosot dari semasa ke semasa,” kata Oh.

Bersatu, kata Syaza, sentiasa berada dalam kedudukan goyah walaupun keupayaannya meraih undi daripada PH dan Barisan Nasional (BN), malah kemenangannya pada 2022 sebahagian besarnya disebabkan populariti PAS.

“Saya rasa ada yang tidak berpuas hati kerana mereka melihat Muhyiddin tidak begitu berkesan.

“Bersatu perlu benar-benar memikirkan parti macam mana yang ia mahu. Buat masa ini, tiada hala tuju yang jelas di mana ia akan berterusan bertahun-tahun dari sekarang,” kata Syaza sambil menambah bahawa prospek untuk membubarkan dan menyertai Umno mungkin tidak dialu-alukan.

Usaha pemulihan

Dr Abdul Aziz Azizam melihat, siapa pun yang mengambil alih jawatan Presiden Bersatu ketika ini, akan bergelut untuk memulihkan parti. – Gambar media sosial, 2 Februari, 2024

Penganalisis politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Abdul Aziz Azizam berkata, mana-mana individu yang mengambil alih jawatan Presiden Bersatu ketika ini, akan bergelut untuk memulihkan parti.

Beliau berkata, Bersatu kini berada dalam keadaan tenat dengan enam ahli Parlimennya menyokong kerajaan hari ini kerana parti itu memerlukan kewangan.

Oleh kerana Ahli Parlimen pembangkang tidak menerima peruntukan, sentiasa terdapat kemungkinan untuk mereka menukar pandangan dan sokongan.

Situasi itu menjadikan Bersatu kelihatan lemah, dengan pemimpin yang tidak konsisten dalam menegakkan agenda pengundi dan tidak dapat berfungsi dengan berkesan sebagai parti pembangkang.

Ia tidak berfungsi sebagai semak dan imbang kepada keputusan kerajaan, seperti yang perlu dilakukan parti pembangkang, selain tidak memberikan keputusan serta dasar alternatif.

“Apabila fungsi ini tidak dilaksanakan dengan berkesan, demokrasi tidak boleh beroperasi dengan cekap,” kata Abdul Azim.

Menurut Abdul Aziz Azizam, memandangkan Ahli Parlimen pembangkang tidak menerima peruntukan, sentiasa terdapat kemungkinan berlaku pertukaran pandangan dan sokongan dalam kalangan ahlinya. – Riduan Ahmad/Scoop, 2 Februari, 2024

Semua ini menyebabkan Bersatu juga hilang kepercayaan sekutu dalam PN.

“Kepimpinan parti akan berdepan cabaran besar termasuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti dan pada masa sama memupuk kepercayaan bersama parti lain dalam gabungan PN.

“Ini bukan satu tugas mudah dan tidak boleh dicapai dengan cepat, tetapi jika Bersatu boleh menangani isu ini dengan berkesan, ia mungkin mengembalikan potensinya dan berdaya saing dalam landskap politik semasa,” katanya.

Abdul Azim berkata, Bersatu boleh memainkan peranan dalam landskap politik Malaysia dan ada baiknya mempunyai pelbagai parti politik untuk menawarkan pilihan kepada orang ramai. – 2 Februari 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Lazada’s Malaysian office not spared from major layoffs

Employees across various departments at Lazada Malaysia's office have allegedly been informed about an impending meeting with the company's human resources team in the next few days. 

Ibu Zayn Rayyan ‘tinggalkan’ media sosial, tak tahan komen jahat netizen kaitkan dengan pembunuhan

Menurut Zahari Mohd Reba, menantunya itu masih lagi trauma dan terkesan di atas kehilangan Zayn Rayyan, yang ditemukan mati dibunuh di saliran air kira-kira 100 meter dari kediaman mereka di Apartmen Idaman, Damansara Damai pada 6 Disember tahun lalu

Related