Nur-ul Afida dilantik sebagai KPE Bernama baharu, Arul Rajoo Ketua Pengarang

Pelantikan itu diputuskan oleh mesyuarat Lembaga Pengelola Bernama pada mesyuaratnya di Wisma Bernama

5:51 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) mengumumkan pelantikan Nur-ul Afida Kamaludin sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (KPE), dan Arul Rajoo Durar Raj sebagai Ketua Pengarang agensi itu berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan itu diumumkan Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai dalam kenyataan hari ini.

Wong berkata pelantikan itu diputuskan oleh mesyuarat Lembaga Pengelola Bernama pada mesyuaratnya di Wisma Bernama Selasa, dan menambah kata kekosongan jawatan jawatan lain akan diputuskan oleh pihak pengurusan. 

Pada Oktober 2023, Nur-ul Afida, 57, mencatat sejarah apabila menjadi wanita pertama memegang jawatan penting dalam agensi itu, yang ditubuhkan pada tahun 1967.

Beliau yang sebelum ini turut menjalankan tugas dan tanggungjawab KPE mengambil alih jawatan itu daripada Jamaluddin Muhammad yang bersara wajib Disember tahun lepas.

Nur-ul Afida mempunyai pengalaman luas dalam bidang kewartawanan dan telah memegang beberapa jawatan penting di Bernama, antaranya sebagai Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita. 

Beliau yang merupakan anak kepada wartawan veteran Allahyarham AR Kamaludin, memulakan kerjaya sebagai wartawan di akhbar Harian Nasional dan menyertai Bernama pada Januari 1985 sebagai wartawan kadet.

Selama 39 tahun perkhidmatan, beliau pernah bertugas di pelbagai bahagian serta unit termasuk Meja Berita Am, Meja Penyuntingan Bahasa Melayu, Unit Foto serta Meja Rencana dan Penulisan Strategik. 

Beliau juga merupakan tenaga pengajar bagi Bernama School of Journalism sejak 2009 dan pernah menjawat jawatan Ketua Perancangan Strategik Bernama.

Beliau menerima pendidikan awal di Bukit Bintang Girl School dan menyambung pelajaran ke Tingkatan Enam di Institut Hasni pada 1986.

Nur-ul Afida meneruskan pengajian peringkat tinggi dan menerima Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Komunikasi Massa, Universiti Teknologi Mara pada 1993, dan kemudian melanjutkan pengajian peringkat sarjana di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang Pengurusan Komunikasi pada 2011.

Arul Rajoo, 55, pula memulakan perkhidmatan dengan Bernama sebagai Pemberita Kadet pada tahun 1991.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) daripada Universiti Malaya itu, sebelum ini menjawat jawatan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita.

Karier beliau di Bernama bermula di Meja Sukan dan beliau pernah membuat liputan pelbagai acara sukan dalam dan luar negara, antaranya Sukan Olimpik, Sukan Asia, perlumbaan Formula One, Kejohanan Bolasepak Piala Dunia Belia, Sukan SEA, Piala Thomas dan Kejohanan Olahraga Dunia.

Pada tahun 2001, beliau dilantik sebagai Ketua Biro Perak sebelum berpindah ke Bangkok sebagai Koresponden di Thailand. 

Pada 2010, Arul Rajoo dilantik sebagai Editor di Perkhidmatan Berita dan seterusnya Editor Meja Tugasan di Perkhidmatan Audio Visual (Bernama TV).

Beliau juga pernah memegang jawatan Ketua TV dan Ketua Penyiaran (TV dan Radio) sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita Ekonomi).

Sepanjang perkhidmatan di Bernama, Arul Rajoo juga pernah membuat liputan Perdana Menteri di luar negara, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), APEC, Asean Summit, Sidang Kemuncak NAM  dan menyertai mesyuarat The Organisation of Asia-Pacific News Agencies (OANA). – 27 Februari, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Ibu Zayn Rayyan ‘tinggalkan’ media sosial, tak tahan komen jahat netizen kaitkan dengan pembunuhan

Menurut Zahari Mohd Reba, menantunya itu masih lagi trauma dan terkesan di atas kehilangan Zayn Rayyan, yang ditemukan mati dibunuh di saliran air kira-kira 100 meter dari kediaman mereka di Apartmen Idaman, Damansara Damai pada 6 Disember tahun lalu

Closure of Bandar Sri Damansara post office worries local community – Ravindran Raman Kutty

BANDAR Sri Damansara is a unique township that is equipped with almost every amenity, including a dynamic post office. We, through the resident’s association, managed to secure this post office in the late 1990s, and our residents have been enjoying the services to date. 

Related