Ibu bapa terpaksa belanja sekali ganda bulan ini untuk siapkan kelengkapan sekolah dan Ramadan

Mengakui agak terbeban dengan kenaikan kos sara hidup, ibu bapa yang ditemui Scoop berkata mereka hanya membeli barang keperluan sahaja dan tidak lagi makan di luar

6:19 PM MYT

 

SUNGAI BULOH — Sesi persekolahan 2024 agak ‘mencabar’ bagi rata-rata ibu bapa kerana ia serentak dengan bulan puasa, justeru apa yang dilakukan oleh mereka ialah mengamalkan perbelanjaan berhemah.

Mengakui agak terbeban dengan kenaikan kos sara hidup, ibu bapa yang ditemui Scoop berkata mereka hanya membeli barang keperluan sahaja, malah ada yang tidak lagi ‘makan di luar’ kerana mahu berjimat.

Menurut seorang bapa kepada tiga cahaya mata, Khairul Zaman Alawi, 37, perbelanjaannya meningkat sekali ganda pada bulan ini bagi mempersiapkan kedatangan Ramadan serta keperluan persekolahan anak-anak.

Bagi mengatasi perkara itu, pekerja swasta ini berkata dia sudah menyimpan wang sejak beberapa bulan lalu agar tidak berdepan dengan ‘kesesakan’ kewangan.

Khairul Zaman Alawi sudah menyimpan wang sejak beberapa bulan lalu agar tidak berdepan dengan ‘kesesakan’ kewangan – Juliana Johar/Scoop, 10 Mac, 2024

“Memang diakui agak terkesan kerana bulan Mac kita puasa, nak buat persiapan untuk raya dan juga anak-anak kembali ke sekolah pada bulan ini.

“Sebagai bapa, saya perlu bijak kendalikan bajet dan terpaksa berjimat, tolak kos-kos yang tidak perlu contohnya seperti makan di luar,” katanya ketika ditemui di Pasar Tani Ahad, di sini hari ini.

Sesi persekolahan 2024/2025 Kumpulan A bermula hari ini iaitu bagi sekolah di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Bagi Kumpulan B iaitu sekolah-sekolah di Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya akan bermula esok.

Manakala umat Islam di Malaysia dijangka mula berpuasa pada Selasa.

Khairul memberi contoh, jika membeli makanan di luar, kosnya mencecah lebih RM50 dan disebabkan itu dia sekeluarga memilih untuk masak dan makan di rumah sahaja.

Sementara itu, Norazura Yusop, 38, ibu kepada empat orang anak berusia 11, 9, 6, dan 3 tahun mengakui sedikit ‘sesak’ pada bulan ini kerana terpaksa membelanjakan kira-kira RM1,500 untuk membeli kelengkapan persekolahan anak-anaknya itu.

Justeru, Norazura yang juga pekerja di sektor swasta ini membuat persiapan menyambut Ramadan secara ala kadar dan hanya membeli barangan keperluan sahaja serta mengurangkan berbelanja makan di luar bagi menjimatkan kewangan keluarga.

Norazura Yusop tidak mempunyai perancangan untuk berkunjung ke bazar Ramadan tahun ini dan lebih senang memasak di rumah agar perancangan kewangan keluarga tidak lari dari bajet yang telah ditetapkan – Juliana Johar/Scoop, 10 Mac, 2024

“Kebiasaannya memang saya akan beli barangan keperluan harian di pasar tani untuk tempoh seminggu terus, selalunya sehingga RM200.

“Saya pun tiada perancangan untuk berkunjung ke bazar Ramadan kali ini, masak lebih senang agar perancangan kewangan keluarga tidak lari dari bajet yang telah ditetapkan.

“Untuk persiapan anak-anak kembali ke sekolah ini pun, saya akui terasa banyak juga duit habis, tetapi dalam keadaan sekarang kita memang kena sentiasa berjimat,’’ katanya.

Bagi Ridwan Hamzah, 38, pula, meskipun hanya seorang anaknya yang bersekolah namun dia mengakui banyak berbelanja pada bulan ini.

Ridwan Hamzah lebih mendahulukan keperluan persekolahan anak sulungnya serta hanya membeli barang-barang keperluan sahaja – Juliana Johar/Scoop, 10 Mac, 2024

Bapa kepada dua cahaya mata ini berkata, dia lebih mendahulukan keperluan persekolahan anak sulungnya, Nur Salsabilla Rania, 8, yang mencecah RM600 bagi membeli baju, kasut, alat tulis dan lain-lain.

“Memang terasa pengaliran wang keluar, dengan anak dah mula masuk sekolah.

“Memandangkan bulan ini kami sekeluarga banyak berbelanja, isteri saya akan memasak di rumah serta membeli barang keperluan sahaja.

“Dalam keadaan sekarang ini, memang kita kena buat semua persiapan secara sederhana, tak boleh semeriah macam tahun-tahun sebelum ini termasuk persiapan menyambut Ramadan dan Syawal,” katanya. – 10 Mac, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Lazada’s Malaysian office not spared from major layoffs

Employees across various departments at Lazada Malaysia's office have allegedly been informed about an impending meeting with the company's human resources team in the next few days. 

Ibu Zayn Rayyan ‘tinggalkan’ media sosial, tak tahan komen jahat netizen kaitkan dengan pembunuhan

Menurut Zahari Mohd Reba, menantunya itu masih lagi trauma dan terkesan di atas kehilangan Zayn Rayyan, yang ditemukan mati dibunuh di saliran air kira-kira 100 meter dari kediaman mereka di Apartmen Idaman, Damansara Damai pada 6 Disember tahun lalu

Related