◉ HEADLINES

Sultan Perak bimbang, titah tindakan tegas bendung api perkauman

Pada masa sama Pejabat Sultan Perak turut membuat laporan polis selepas petikan lama Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ditularkan, dikaitkan dalam konteks yang salah

2:20 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah insiden melempar bom petrol ke kedai serbaneka, KK Mart di Bidor baru-baru ini adalah perkara membimbangkan dan perlu diberi perhatian serius melalui tindakan tegas.

Menerusi kenyataan dikeluarkan Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral (B) Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin, baginda bertitah tindakan tegas itu perlu bagi mengelakkan tercetus api perkauman dan memastikan situasi terbabit dibendung daripada merebak lebih luas.

Katanya, baginda mempercayai majoriti rakyat Malaysia, bersikap rasional, moderat dan mengutamakan hubungan harmoni serta keamanan.

“Baginda menyatakan jaminan untuk memberikan naungan dan lindungan kepada setiap rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum serta menganut pelbagai agama, secara adil dan saksama.

“(Ini) agar dapat terus hidup dalam rukun dan damai, sama-sama membina dan membangunkan negara Malaysia yang aman lagi makmur,” katanya mengenai titah baginda.

Sementara itu, kenyataan sama memaklumkan, Pejabat Sultan Perak membuat laporan polis semalam, berhubung kenyataan ditularkan atas nama ‘Amanah Membina Negara’ mengenai sebahagian kecil titah diraja baginda yang mengaitkan dan mengheret kedudukan Sultan Nazrin, bagi tujuan menghidupkan bara perkauman dan keagamaan.

Menurutnya, kenyataan tular berunsur perkauman itu dikaitkan dengan konteks salah berdasarkan petikan titah baginda sebagai Raja Muda Perak pada 19 tahun lalu di Kongres Pendidikan Melayu Kedua di sebuah hotel di ibu negara.

Laporan polis itu, katanya, demi melindungi nama baik Sultan Perak daripada diheret serta dicemari mana-mana pihak untuk memenuhi agenda tersurat dan tersirat pihak berkenaan.

“Titah baginda mengandungi 68 para dan 5748 patah perkataan. Dalam titah tersebut, baginda menzahirkan kupasan terhadap faktor yang mempengaruhi kelemahan dan kekuatan bangsa Melayu serta pentingnya bangsa bersifat merdeka dan dimerdekakan jiwa, dibebaskan minda serta diperkaya dengan nilai positif, selain bebas mendaki puncak pengetahuan, bebas menyelami lautan ilmu serta dibina keyakinan bangsa.

“Baginda menegaskan agama, pemimpin, keluarga, masyarakat serta ilmu dan pendidikan mempunyai peranan kuat dalam budaya masyarakat Melayu,” katanya.

Ujarnya, menerusi titah berkenaan, baginda memperingatkan agar bangsa perlu berwaspada supaya tidak terlalu cepat terperangkap dan begitu mudah mengulangi ungkapan negatif yang merendahkan martabat.

“Kanta penilaian yang dipilih akan mempengaruhi nilai diberikan kepada bangsa.

“Bila kekurangan begitu cepat ditafsirkan sebagai kelemahan, maka padi mula dikatakan lalang, beras pula disangka pasir. Sedarlah! apabila sesuatu bangsa memilih untuk merendahkan bangsanya sendiri, akan terbukalah jendela yang memberanikan bangsa lain menghinanya. Lalu bangsa akan dipandang fakir, adat budayanya bakal tersingkir,” katanya.

Pada masa sama, tegasnya, ketika titahnya itu, Sultan Nazrin tidak sama sekali mengait atau menzahirkan ungkitan terhadap mana-mana kaum di negara ini.

“Dipercayai ada pihak ketika ini mahu menghidupkan bara perkauman dan keagamaan, hingga ke peringkat mengaitkan secara luar konteks titah dizahirkan Sultan Nazrin pada tahun 2005 itu.

“Baginda khuatir perbuatan tidak beretika mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman dengan mengaitkan secara luar konteks titah dizahirkan atas nama Raja Muda Perak 19 tahun lalu, sebagai perbuatan menangguk di air keruh yang tidak bertanggungjawab, selain membawa kesan langsung yang boleh menjejaskan ketenteraman awam di negara kita,” katanya. – 29 Mac, 2024

Topics

 

◉ Hangat

MRCB stadium suit: Abdul Razak silenced, Hunter faces trial in absentia

Activist Abdul Razak bound by consent judgment in MRCB’s stadium redevelopment suit, permanently restrained from repeating allegations, while blogger Murray Hunter faces trial in absentia with judgment set for July 17

Exploring Perak’s ancient limestone formations: Gua Tempurung 

Brown signboards marking sites of cultural interest and recreation along the North South Highway and federal roads often inject some excitement at the possibility of making new discoveries, but many miss out on delving into an actual adventure due to other distractions.

Police to summon Zamri Vinoth over alleged threatening, racist remarks

This following a police report lodged against the remarks purportedly made during a TikTok live broadcast

◉ Related