HEADLINES

34 penjawat awam ditahan sebabkan ketirisan cukai RM2 bilion: SPRM

Selain 34 anggota penguat kuasa, 27 individu serta pemilik syarikat ditahan kerana melindungi dan memudahkan aktiviti penyeludupan sindiket itu

3:46 PM MYT

 

PUTRAJAYA — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mendedahkan jumlah ketirisan akibat kegiatan sindiket penyeludupan babitkan beberapa anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang mencecah RM2 bilion bagi tempoh tiga tahun lepas.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata setakat ini, seramai 34 anggota penguat kuasa dan 27 individu serta pemilik syarikat ditahan menerusi Ops Samba 2.0 kerana melindungi dan memudahkan aktiviti penyeludupan sindiket itu. 

Beliau berkata anggota dan pegawai penguat kuasa berusia 30 hingga 50 ditahan dipercaya menerima wang rasuah lebih RM4.7 juta daripada sindiket bagi memudahkan kegiatan penyeludupan tembakau kunyah, rokok, arak, produk kesihatan dan alat ganti kenderaan.

“(Ops Samba 2.0) penting kerana kita bongkar kegiatan rasuah libatkan agensi penguat kuasa yang libatkan kebolosan dan ketirisan. 

“Perkara ini dijangka berlaku begitu lama, ia dikesan sejak 2017 hingga baru-baru ini. Kerugian (kerajaan Malaysia) untuk tempoh tiga tahun kerana sindiket ini adalah RM1.5 bilion hingga RM2 bilion iaitu kutipan cukai tiris,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Ops Samba 2.0 merupakan operasi diketuai SPRM bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi memerangi aktiviti rasuah pegawai agensi penguatkuasaan yang melindungi aktiviti penyeludupan sejak 2017 hingga kini.  

Azam berkata SPRM telah merampas telefon bimbit, komputer riba serta lapan kenderaan mewah milik sindiket terbabit bagi membantu siasatan.

Beliau berkata sejumlah 232 akaun bank milik syarikat dan individu ditahan termasuk akaun keldai berjumlah lebih RM17 juta telah dibekukan bagi membantu siasatan.

“Transaksi (rasuah) dikesan babitkan 34 penjawat awam ini adalah penyaluran iaitu masuk akaun peribadi menggunakan keldai akaun,” katanya menambah, proses analisis akaun akan dibuat LHDN, BNM dan SPRM.

Ditanya modus operandi sindiket ini, beliau berkata sindiket itu menggunakan perkhidmatan ‘forwarding agent’ sebagai orang tengah bagi pembayaran rasuah kepada penguat kuasa yang bertugas dalam pemeriksaan dan pencegahan. 

“Ini bagi melicinkan proses penyeludupan barangan tanpa melalui pengisytiharan serta pemeriksaan sepatutnya,” katanya.

Azam berkata sindiket juga dikesan terbabit aktiviti pengubahan wang haram dengan mencuci duit menggunakan akaun perniagaan ‘syarikat hantu’, pengurup wang, kegiatan judi dalam, kegiatan pelacuran dan juga melalui syarikat pinjaman wang berlesen.

“Sebanyak 19 ‘syarikat hantu’ dikesan diwujudkan melibatkan pelbagai jenis perniagaan untuk kelirukan pihak berkuasa terutama LHDN,” katanya. 

Beliau berkata SPRM ketika ini memfokuskan usaha membanteras kegiatan rasuah membabitkan anggota penguat kuasa kerana ia memberikan kerugian buat negara.  

“Walaupun dah beberapa tahun lepas kegiatan rasuah berlaku, jangan ingat mereka terlepas… ini amaran kepada pihak penguat kuasa,” katanya. – 29 Mac, 2024

Topics

 

Hangat

‘Klang is not Colombia…Gombak, PJ, Kajang have higher crime rates’

Top cop Tan Sri Razarudin Husain has slammed reports of equating Klang to South American country Colombia, with the connotation of being home to violent crimes. He added that not all of Klang has a high crime rate, as only pockets of the city are affected.

Granny knows best: Tang Jie’s biggest fan braves rain, roadblocks to cheer him on

Three generations of Chen Tang Jie’s family turned up at the Malaysia Masters, with his 76-year-old grandmother stealing the spotlight as his most loyal supporter 

Federal Court upholds Isa Samad’s jail sentence, rejects bid to review graft conviction

Court rules no miscarriage of justice in reinstating six-year prison term and RM15.45mil fine

Related