HEADLINES

Kempen #MZB365 membudayakan sifat saling bermaafan, cara mulia perbetul kealpaan

Sikap memberi maaf bukanlah bermaksud kita terus melupakan sengketa sebaliknya menunjukkan betapa besarnya hati dalam bereaksi terhadap kekhilafan manusia lain

6:06 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Kempen #MZB365 digerakkan 18 pertubuhan masyarakat sivil dan media tempatan mengajak masyarakat untuk membudayakan sikap meminta maaf sepanjang hari, saban tahun dalam menghadapi pelbagai isu yang boleh mewujudkan sengketa khususnya isu melibatkan perkauman dan perbezaan pendapat.

Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, meminta maaf tidak menjadikan seseorang lebih kecil dan lebih hina, tetapi meminta maaf adalah cara yang mulia bagi memperlihat wujudnya kesedaran dalam memperbetulkan kealpaan.

“Satu kempen yang dipanggil Gerakan Maaf Zahir Batin 365 hari dilancarkan oleh 18 pertubuhan masyarakat sivil dan media tempatan bertujuan untuk mewujudkan masyarakat yang harmoni dalam isu melawan perbezaan pendapat dan pertelingkahan kaum atau agama melalui amalan meminta maaf dan memberi kemaafan.

“Gerakan #MZB356 diwujudkan sebagai satu langkah untuk membudayakan sifat saling bermaafan dalam kalangan rakyat Malaysia seperti yang kerap dilakukan apabila menjelang Aidilfitri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah, sikap memberi maaf pula bukanlah bermaksud kita terus melupakan sengketa sebaliknya menunjukkan betapa besarnya hati dalam bereaksi terhadap satu kekhilafan manusia yang lain yang boleh ditangani tanpa bermasam muka sebaliknya dengan hati yang waras dan mulia.

“Saya ingin menyatakan sokongan penuh terhadap gerakan ini kerana kita sangat memerlukannya. Ini kerana terdapat banyak usaha anasir yang tidak bertanggungjawab menyuntik api kemarahan apabila berlaku peristiwa yang melibatkan kaum dan agama.

“Kes-kes sensitif sebegini perlu ditangani dengan pendekatan yang lebih rahmah bagi memastikan ia tidak ditunggangi mereka yang mengambil kes sebegini sebagai umpan politik yang akan melibatkan perpecahan kaum yang lebih teruk,” katanya.

Menurutnya, pembudayaan mengaku silap, meminta maaf dan memberi maaf jika dijadikan amalan oleh semua kaum di Malaysia akan memudahkan kita berinteraksi, memberi reaksi dan mengekalkan rasa harmoni dalam mewujudkan nilai silang integrasi yang perlu ada di negara ini.

Sebelum ini Scoop melaporkan, pertubuhan dalam masyarakat sivil dan media telah menggembleng tenaga melancarkan kempen #MZB365 bagi melawan ungkapan kebencian dan provokasi etnik-agama di negara ini, ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri semakin menghampiri.

Inisiatif tersebut, yang bermaksud “Maaf Zahir Batin,” – iaitu kelaziman dan amalan dalam masyarakat Melayu-Islam – bertujuan memohon dan memberikan kemaafan sepanjang tahun, tanpa mengira agama dan kaum.

Insiden baru-baru ini, seperti kontroversi stoking tertera kalimah ‘Allah’ dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek yang didakwa menyalahguna istilah ‘kafir’ menyerlahkan kerapuhan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa. – 7 April, 2024

Topics

 

Hangat

Jana Wibawa: Muhyiddin’s trial continues as appeals court rejects bid to reinstate acquittal

Five-judge panel dismisses Bersatu president’s application to review findings which led to four charges related to RM232.5 mil in bribes being reinstated in Feb

KWAP duped in RM200m eFishery scam, Anwar confirms

Prime Minister Anwar Ibrahim says the RM200 million eFishery investment was a deliberate fraud, prompting lawsuits, fund recovery efforts and tighter controls to protect civil service pensions

Short-lived La Niña expected in early 2026, but stable weather to follow

MetMalaysia forecasts cool conditions and brief shifts in rainfall patterns before returning to normal

Related