Jabatan Peguam Negara bawa afidavit Zafrul kepada perhatian mahkamah

Perkara itu disahkan jabatan tersebut menerusi satu kenyataan, hari ini

8:26 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara akan membawa perkara berkaitan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berhubung Afidavit Tambahan No 3 kepada perhatian pihak mahkamah.

Perkara itu disahkan jabatan tersebut menerusi satu kenyataan, hari ini.

“Merujuk kepada kenyataan media dikeluarkan Tengku Zafrul bertarikh 17 April 2024 mengenai Afidavit Tambahan No 3 yang diikrarkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 9 April 2024 dalam prosiding undang-undang yang dimulakan oleh Datuk Seri Najib Razak di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui Prosiding Semakan Kehakiman No WA-25-136-04/2024.

“Jabatan Peguam Negara akan membawa perkara ini kepada perhatian pihak mahkamah,” katanya.

Terdahulu, Zafrul memaklumkan akan membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi untuk meminta kebenaran bagi memfailkan afidavitnya, untuk membetulkan beberapa kesilapan fakta yang terkandung dalam afidavit tambahan berkenaan.

Beliau juga dilaporkan akan mendapatkan nasihat undang-undang yang sesuai berhubung perkara itu.

Menerusi afidavit diikrarkan Zahid pada 9 April lalu, Timbalan Perdana itu berkata, beliau dimaklumkan mengenai kewujudan Titah Adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16, oleh Zafrul ketika pertemuan di rumah Presiden Umno berkenaan di Country Heights, pada 30 Januari lalu.

Titah Adendum itu supaya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.

Zahid juga dilaporkan berkata, Zafrul menunjukkan kepadanya salinan Titah Adendum itu pada telefonnya yang diambil gambar dan diimbas sendiri daripada salinan asal seperti ditunjukkan kepadanya oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah).

Afidavit itu boleh dimuat turun oleh orang awam menerusi laman web e-Kehakiman.

Najib, 70, memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi di sini pada 1 April menerusi Tetuan Shafee & Co.

Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu memohon perintah supaya semua responden atau seorang daripada mereka diarah menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh 29 Januari 2024.

Najib juga memohon perintah jika titah itu wujud, maka semua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dan dengan serta-merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Zahid menegaskan melihat dengan jelas semua kandungan Titah Adendum dan ia adalah sebahagian proses pengampunan Najib yang menjadi tambahan kepada Titah Utama bertarikh sama.

Justeru, Presiden Umno itu mengesahkan kewujudan Titah Adendum itu yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong ke-16.

“Saya juga percaya, selain saya dan Tengku Zafrul, anggota kerajaan lain sudah melihat Titah Adendum berkenaan.

“Secara khusus, saya sedar bahawa Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail juga melihat salinan Titah Adendum dan boleh mengesahkan perkara sama,” katanya. – 17 April, 2024

Topics

Hangat

Saya juga manusia, punya hati: Ning Baizura sedih, terguris diri digelar Kristian, keluarga dikritik

Jelas Ning, beliau kecewa kerana daripada satu perkara kecil, ia diperbesarkan segelintir netizen, termasuk menyerang Instagramnya dengan kata-kata hinaan

Iranian President Ebrahim Raisi confirmed dead as burnt helicopter wreckage found

No survivors have been found since crashed helicopter site was discovered, says Iranian Red Crescent Society

Two bullets, profane letter in my mailbox: Teresa Kok lodges report on death threat

Seputeh MP shares her distress after discovering threatening note while retrieving her mail yesterday; police have inspected the scene at her residence

Related