◉ HEADLINES

Tun Hanif Omar lakar sejarah Ketua Polis paling lama dan termuda

Selain itu, antara jasa beliau yang akan terus dikenang rakyat Malaysia ialah menamakan Balai Polis Bluff Road kepada Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman

12:20 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Bekas Ketua Polis Negara (KPN) Allahyarham Tun Mohammed Hanif Omar melakar sejarah dalam perkhidmatan Sang Saka Biru sebagai individu paling muda dan lama menerajui tampuk kepimpinan pasukan keselamatan negara. 

Allahyarham dilantik memegang jawatan Ketua Polis Negara keempat pada usia 35 tahun bermula 8 Jun 1974 menggantikan Tan Sri Abdul Rahman Hashim yang terbunuh ditembak komunis.

Mohammed Hanif, 85, yang menghembuskan nafas terakhirnya pada 2.15 pagi tadi akibat sakit buah pinggang memegang jawatan KPN selama 20 tahun sebelum bersara pada 15 Januari 1994.

Setahun selepas memegang jawatan sebagai Ketua Polis Negara, Mohammed Hanif mengasaskan unit antipengganas elit, Unit Tindakan Khas (UTK) pada 1 Januari 1975 serta mengambil bahagian dalam operasi menyelamat dalam krisis tebusan bangunan AIA pada Ogos, tahun sama.

Selain itu, antara jasa beliau yang akan terus dikenang rakyat Malaysia ialah menamakan Balai Polis Bluff Road kepada Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman pada 25 Mac 1975.

Pada 8 Jun 1976, Mohammed Hanif mengumumkan semua rekrut polis akan berkhidmat dalam Pasukan Polis Hutan sebelum ditugaskan ke unit lain bagi memastikan semua anggota polis muda akan dapat menangani sebarang situasi kecemasan apabila mereka dilengkapi dengan latihan di dalam hutan.

Dilahirkan di Teluk Anson (kini dikenali Teluk Intan), Perak, Mohammed Hanif mendapat pendidikan awal di Sekolah Anglo-Chinese, kemudian melanjutkan pelajaran di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).

Mohammed Hanif meneruskan pengajian ke Universiti Malaya (UM) yang ketika itu bertempat di Singapura dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera pada 1959, seterusnya menyambung dalam bidang Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam Undang-undang dari University of Buckingham di London.

Liku-liku kerjayanya bermula sebagai Penolong Kadet Penguasa Polis pada 8 Jun 1959 sebelum memegang beberapa jawatan tinggi antaranya dilantik sebagai Ketua Polis Melaka pada 7 September 1970 dan Ketua Polis Selangor pada 6 Disember 1971, seterusnya menjadi Timbalan Ketua Polis Negara pada 1 Februari 1973.

Jasa dan keringat yang dicurahkan Mohammed Hanif dalam pasukan polis dan menjaga keselamatan negara terutama melibatkan peristiwa penting negara akan sentiasa dikenang antaranya sebagai Ketua Pegawai Turus (Polis) Majlis Gerakan Negara (18 Mei 1969) berkaitan insiden 13 Mei.

Antara peristiwa bersejarah lain ialah beliau bersama-sama dengan Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada Persidangan Manila berhubung dengan penubuhan MAPHILINDO pada 1963 dan beliau juga antara wakil kerajaan Malaysia dalam Perjanjian Damai yang dimeterai oleh Parti Komunis Malaya (PKM) dengan kerajaan Malaysia dan Thailand pada 2 Disember 1989 di Hat Yai, Thailand.

Tidak hanya mencurahkan bakti semasa dalam perkhidmatan, selepas bersara pada 15 Januari 1994, Mohammed Hanif juga dilantik sebagai ahli Suruhanjaya Memantapkan Pengurusan dan Operasi-operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari 2004 – 2005 dan figura tegas ini juga merupakan Penaung Yayasan Pengaman Malaysia serta Presiden Persatuan Diraja Asiatik Cawangan Malaysia (MBRAS).

Beliau turut terlibat secara aktif dalam dunia korporat apabila memegang beberapa jawatan penting antaranya Pengerusi Maxis Communication Berhad dan Timbalan Pengerusi Genting Berhad dan Resort World Berhad. – 20 April, 2024

Topics

 

◉ Hangat

Schools may close if air quality worsens, five areas hit unhealthy levels: DOE

The department said the areas recorded unhealthy API readings, warns of RM1mil fine for open burning offenders

Malaysia Airlines, SIA join rush to cancel Middle East flights as Iran-US-Israel strikes escalate

More countries announce airspace closures as carriers suspend flights on Feb 28 and March 1, passengers reminded to check for updates on subsequent flights

Melaka schools to reopen on Oct 12 as API readings fall below 100

Air quality readings at all three monitoring stations in the state remain in the moderate range, with parents advised to monitor their children's health

◉ Related