JPS Selangor sedia hadapi kemarau, kapasiti air di 7 empangan masih mencukupi

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor berperanan sebagai pemberi data bagi membantu operator empangan memberi amaran awal dan membuat perancangan

10:00 AM MYT

 

SHAH ALAM – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor bersiap siaga menghadapi El Nino atau cuaca panas kemarau yang dijangka berterusan hingga Julai ini bagi memastikan bekalan air kepada pengguna tidak terjejas.

Pengarahnya, Nasser Salim berkata, pengguna itu membabitkan domestik, pengairan (pertanian sawah padi) dan perindustrian di negeri berkenaan.

Katanya, sebagai negeri membangun, Selangor memiliki tujuh empangan untuk menjamin bekalan air pada tahap ‘siap siaga’.

“Peranan kita di sini membekalkan maklumat. Kita ada kaedahnya iaitu program yang kita rancang dan laksanakan menggunakan maklumat hidrologi untuk kita membuat tafsiran sumber air.

“Kita membantu operator empangan memberi amaran awal. Jadi di situ operator empangan boleh buat perancangan… ini melibatkan maklumat data,” katanya dalam temubual eksklusif bersama Scoop di sini, semalam.

Menurut Nasser Salim, sekiranya berlaku krisis kemarau, JPS akan memberikan data berkaitan kapasiti air di setiap empangan sebelum kerajaan negeri membuat keputusan mengenai pengguna yang perlu diberi keutamaan – Alif Omar/Scoop, 9 Mei, 2024

Menurut beliau, setakat ini takungan air di kesemua tujuh empangan di Selangor berada pada kapasiti baik walaupun negara sedang mengalami fenomena cuaca panas ketika ini.

“Di Selangor ada satu jawatankuasa bencana yang akan memantau peratus takungan air di empangan setiap hari.

“Melalui maklumat yang kita dapat itu, jika berlaku penurunan ketara, tindakan segera akan diambil. Setakat hari ini, kapasiti air mencukupi… melebihi 78 peratus,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, di Selangor terdapat dua daripada 19 lembangan sungai di seluruh negara iaitu Lembangan Sungai Klang dan Lembangan Sungai Bernam yang memiliki Sistem Pengurusan Imbangan Air Negara (NAWABS) dibangunkan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra).

Katanya, dua lembangan sungai terbabit kini dalam proses pengoperasian melibatkan penyerahan penggunaan dan operasi data kepada kerajaan negeri melalui operator lembangan berkenaan.

“Program itu (NAWABS) bagi memastikan fungsi sungai sebagai sumber air dikekalkan termasuklah tindakan mitigasi dan persediaan awal oleh pelbagai agensi lain.

“Selain itu, ramalan kemarau dapat dikenal pasti dua bulan lebih awal dan amaran kemarau pula dapat diperolehi 14 hari lebih awal,” katanya.

Jelas beliau lagi, sekiranya berlaku krisis kemarau, JPS akan memberikan data berkaitan kapasiti air di setiap empangan sebelum kerajaan negeri membuat keputusan mengenai pengguna yang perlu diberi keutamaan.

“Untuk maklumat pengairan lebih banyak memerlukan air. Bila berlaku krisis (kemarau)… keutamaan akan diberikan kepada domestik. Jadi kita kena betul-betul memberi data untuk kerajaan negeri buat keputusan, cukup tak cukup (bekalan air).

“Bila krisis ada yang perlu berkorban… tanaman atau manusia? Itu kerajaan negeri akan buat keputusan berdasarkan maklumat yang kita bekalkan dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia). Itu apa kita boleh bantu.

“Mereka (MetMalaysia) ada satu sistem radar yang agak canggih. Sekiranya berlaku tentang amaran bencana kemarau atau banjir, kita juga akan berkongsi dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) yang akan menggerakan segala tindakan diperlukan,” katanya. – 9 Mei, 2024

Topics

Hangat

Saya juga manusia, punya hati: Ning Baizura sedih, terguris diri digelar Kristian, keluarga dikritik

Jelas Ning, beliau kecewa kerana daripada satu perkara kecil, ia diperbesarkan segelintir netizen, termasuk menyerang Instagramnya dengan kata-kata hinaan

Iranian President Ebrahim Raisi confirmed dead as burnt helicopter wreckage found

No survivors have been found since crashed helicopter site was discovered, says Iranian Red Crescent Society

Two bullets, profane letter in my mailbox: Teresa Kok lodges report on death threat

Seputeh MP shares her distress after discovering threatening note while retrieving her mail yesterday; police have inspected the scene at her residence

Related