Ritzy Gloss tetap laksana perobohan Kg Sg Baru di sebalik tentangan hebat penduduk

Syarikat pemaju terbabit, sudah menerima semua kelulusan diperlukan untuk meneruskan kerja perobohan

11:52 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pembangunan semula Kg Sg Baru semakin hampir terlaksana apabila pemaju hartanah Ritzy Gloss Sdn Bhd tetap dengan pendirian meneruskan rancangan perobohan di kawasan Melayu berkenaan, walaupun penduduk tidak bersetuju kerana pampasan tidak berbaloi.

Pengarah Ritzy Gloss, Abdul Hadi Ahmad mengesahkan bahawa syarikat terbabit sudah menerima semua kelulusan diperlukan untuk meneruskan kerja perobohan.

Bercakap kepada Scoop di Temu Hotel di sini, selepas pertemuan ringkas dengan beberapa penduduk, Hadi berkata, proses perobohan bermula hari ini dengan pemotongan bekalan air dan elektrik ke unit kediaman flat di situ.

“Kami mendapatkan semua kelulusan, termasuk permit (untuk menjalankan) perobohan, jadi kami hanya melaksanakan hak kami,” kata Hadi ringkas tanpa memperincikan jadual proses perobohan.

Suasana pertemuan antara penduduk Kg Sg Baru dan Pengarah Ritzy Gloss Sdn Bhd, Abdul Hadi Ahmad (kemeja biru) bertukar tegang selepas pemaju itu diasak dengan pelbagai soalan. – Riduan Ahmad/Scoop, 23 Mei, 2024

Beliau juga mengesahkan bahawa tanah Kg Sg Baru berkenaan dalam projek pembangunan semula yang mencetuskan kemelut antara pihaknya dengan penduduk, kini menjadi milik Ritzy Gloss selepas Pejabat Tanah dan Galian serta Perbadanan Pembangunan Kg Baru (KBDC) menyerahkan hak miliknya kepada syarikat terbabit.

KBDC adalah sebuah agensi ditubuhkan di bawah Akta KBDC 2011 dengan mandat melaksanakan dasar, arahan dan strategi untuk pembangunan Kg Baru yang menempatkan Kg Sg Baru.

Hadi berkata, peguam Ritzy Gloss mengeluarkan notis pengusiran pada 9 Mei lalu untuk penduduk mengosongkan rumah mereka dalam tempoh dua minggu, justeru bekalan air dan elektrik kediaman dipotong pagi ini.

“Notis ini bukan perkara baru kerana terdapat notis sebelumnya (dikeluarkan Pentadbir Tanah Kuala Lumpur). Tetapi, kerana mereka (penduduk) masih enggan keluar, kami hanya melaksanakan hak kami (dengan) memulakan proses perobohan,” tambahnya.

Sementara itu, apabila ditanya mengenai pertelingkahan antara beliau dan penduduk semasa pertemuan di hotel berkenaan, Hadi enggan mengulas mengenai perkara terbabit.

Dalam surat undang-undang bertarikh 9 Mei dari firma guaman Messrs Zulpadli & Edham, penduduk Kg Sg Baru yang masih menduduki rumah mereka di kawasan berkenaan, diarahkan mengosongkan rumah mereka dalam tempoh 14 hari dari notis itu.

Surat dilihat Scoop menyatakan jika penduduk gagal mengosongkan rumah mereka dalam tempoh ditetapkan, wakil undang-undang diarah memulakan tindakan, termasuk mengepung kawasan tersebut, kerja perobohan dijalankan serta memotong bekalan air dan elektrik.

Notis terbabit juga menyatakan tindakan berkenaan akan dijalankan tanpa memberi makluman terlebih dahulu kepada penduduk yang akan menanggung kesan tindakan itu, termasuk ia tidak terhad kepada pembayaran ganti rugi am, teladan dan teruk kepada Ritzy Gloss sebagai ‘pemilik tanah sah’.

Untuk rekod, notis dari wakil undang-undang yang dihantar kepada pemilik rumah teres dan pemilik unit flat sedikit berbeza, dengan kedua-dua versi merujuk kepada Borang K di bawah Akta Pengambilan Tanah (LAA) 1960 mengenai notis bahawa pengambilan tanah sudah dibuat.

Borang terbabit yang dikeluarkan Pentadbir Tanah Kuala Lumpur dan disahkan perintah mahkamah tinggi bertarikh 11 Disember 2023, bermaksud bahawa hak milik tanah untuk mereka dalam perumahan strata sudah diserahkan kepada Ritzy Gloss, kata firma guaman tersebut.

Surat guaman dihantar kepada pemilik hartanah tidak menyebut perintah mahkamah tinggi terbabit.

Terletak berhampiran Jambatan Saloma Link yang ikonik dan stesen transit aliran ringan (LRT) Kg Baru, Kg Sg Baru terdiri daripada 98 rumah teres pegangan pajak dan 264 unit flat merangkumi lapan blok.

Daripada jumlah keseluruhan hartanah di tanah berkenaan, pemilik 27 rumah teres dan 192 unit flat sudah menerima tawaran daripada pemaju secara sukarela, menerusi memorandum persefahaman dengan persatuan penduduk Kg Sg Baru untuk membangunkan kawasan itu melalui perjanjian usaha sama pada tahun 2016.

Pada 2021, pentadbiran Perikatan Nasional (PN) meluluskan permohonan Ritzy Gloss untuk kerajaan mengambil pemilikan rasmi tanah di kawasan berkenaan di bawah LAA, menyaksikan 37 rumah teres dan 72 unit flat berdepan pengambilan secara paksa.

Pemilik hartanah menegaskan, memandangkan nisbah ekar tanah mereka lebih tinggi daripada penduduk terbabit, undian mereka dalam perkara itu, seharusnya diutamakan berbanding pemilik flat dalam perumahan strata.

November tahun lalu, sebuah persatuan penduduk lain, meminta campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk pampasan yang adil berhubung pembangunan projek berkenaan.

Ia susulan dakwaan seorang pemaju lain yang boleh menawarkan RM950 per kaki persegi untuk hartanah terbabit, jauh lebih tinggi daripada penilaian RM450 per kaki persegi ditetapkan Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta.

Setiausaha politik Anwar, Datuk Azman Abidin, sebelum ini mengesahkan bahawa Jabatan Perdana Menteri menerima surat hasrat daripada syarikat yang berminat terbabit.

Pada masa sama, Scoop membincangkan isu terbabit dengan penduduk Kg Sg Baru, bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad dan seorang peguam yang mewakili penduduk. – 23 Mei 2024

Topics

Hangat

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Chef Wan slammed for ‘racist’ comment on Aishwarya Rai’s dress at Cannes

Celebrity chef has likened Indian film star’s gown at festival to a ‘kavadi’

Related