HEADLINES

Pembunuhan Ismail Haniyeh: Kerajaan tuntut penjelasan Meta turunkan hantaran PM

Kerajaan menantikan penjelasan sama ada penurunan dibuat pihak Meta secara automatik atau berdasarkan kepada aduan orang ramai

2:57 PM MYT

 

PUTRAJAYA – Kerajaan meminta pihak Meta Platforms Inc (Meta) memberi penjelasan, kenapa hanya hantaran oleh Perdana Menteri Datuk Seri Awar Ibrahim berhubung pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh sahaja yang menjadi sasaran sehingga diturunkan.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata kerajaan kesal dengan tindakan penurunan tersebut dan sedang menantikan penjelasan sama ada ia dibuat pihak Meta secara automatik atau berdasarkan kepada aduan diterima daripada orang ramai. 

“Semua platform media sosial mempunyai tatacara atau community guidelines, standard sendiri dan mereka mungkin melakukan tindakan penurunan hantaran (dibuat) berdasarkan garis panduan masing-masing. Kita akan tunggu penjelasan pihak Meta,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata setakat ini belum ada organisasi media yang memuat naik hantaran Perdana Menteri mengenai pembunuhan Ismail Haniyeh atau perbualan dengan wakil sayap Hamas diturunkan, selain Bernama Radio.

“Sekiranya ada rakan media yang mengalami (hantaran diturunkan) sila maklumkan kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk kembalikan hantaran itu,” katanya. 

Mengulas lanjut, Fahmi berkata beliau difahamkan penurunan hantaran berkaitan Hamas dan kematian Haniyeh juga berlaku kepada bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Jadi kita nampak mungkin ada satu trend, kita cuba nak fahamkan siapa terkesan dan kenapa ia berlaku, kita nak tahu apa tindakan Meta untuk elakkan perkara ini berlaku lagi pada masa hadapan,” katanya.

Media Iran melaporkan bahawa pemimpin Palestin itu terbunuh dalam serangan udara didakwa dilakukan oleh Israel yang menyasarkan lokasi penginapannya di utara Tehran sekitar 2 pagi waktu tempatan semalam.

Haniyeh berada di Tehran untuk menghadiri majlis angkat sumpah Presiden baru Iran Masoud Pezeshkian.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai kerangka kawal selia atau perlesenan perkhidmatan media sosial yang diperkenal hari ini dan berkuat kuasa tahun depan, Fahmi berkata kerajaan buat masa ini tidak berhasrat meluaskan peraturan tersebut kepada pempengaruh serta pencipta kandungan.

“Berbeza bagi syarikat perfileman dan penggambaran yang perlu ada lesen daripada Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia), untuk pempengaruh dan pencipta kandungan kita lihat belum ada keperluan.

“Namun saya ingin tegaskan mereka perlu celik undang-undang, contohnya nak buat kandungan promosi ubat-ubatan atau produk kesihatan, faham dahulu produk itu serta tahu literasi perundangan berkaitan sektor kesihatan bagi mengelak daripada melakukan kesalahan,” katanya. – 1 Ogos, 2024

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

No, Malays could not fly: Scholars call out pseudohistory

UPSI and DBP academics urge discipline in handling history after Prof Solehah’s claims of Malays teaching China ‘flying kung fu’

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

Related