◉ HEADLINES

YDPA sudah perkenan beberapa undang-undang tangani keselamatan, jenayah buli siber: Fahmi

Ia bakal diwartakan dalam tempoh terdekat bagi menangani isu ancaman dan keselamatan siber

11:44 AM MYT

 

CYBERJAYA – Pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia, Kanun Keseksaan mengenai buli siber dalam dan luar talian serta Akta Keselamatan Dalam Talian bakal diwartakan dalam tempoh terdekat bagi menangani isu ancaman dan keselamatan siber.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, penguatkuasaan undang-undang itu adalah susulan perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

“Semalam saya dimaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong sudah perkenan pindaan kepada Akta Komunikasi dan Multimedia, Kanun Keseksaan mengenai buli siber dalam dan luar talian serta Akta Keselamatan Dalam Talian.

“Selepas ia diwartakan, InsyaAllah kita akan berupaya untuk menangani beberapa masalah termasuk pedofilia dalam talian, jenayah seksual terhadap kanak-kanak, buli siber dan juga masalah berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Chatbot Sebenarnya.my di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Disember lalu, Persidangan Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024.

RUU itu diluluskan melalui undi belah bahagian dengan 59 ahli Parlimen bersetuju manakala 40 tidak menyokong, seorang tidak mengambil bahagian serta 122 tidak hadir.

Ketika menggulung perbahasan RUU itu Fahmi berkata, Seksyen 233 di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) tidak dimansuhkan untuk mengelak penyalahgunaan rangkaian oleh mana-mana pihak bagi tujuan komersial khususnya penjualan pornografi dan pedofilia.

“Isu bagi Seksyen 233 ini asasnya adalah penyalahgunaan rangkaian. Sekiranya ia dimansuhkan keseluruhan seksyen ini, itu yang akan membolehkan penjenayah scammer (penipu) dan pedofilia akan berleluasa,” katanya.

Bagi pindaan Seksyen 211 pula, beliau berkata, ia tidak terpakai kepada orang awam tetapi penggunaannya adalah kepada pemegang lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan (CASP) dengan denda dalam seksyen tersebut diselaraskan mengikut perkembangan semasa.

“Denda sedia ada dalam akta ini berpandu kepada nilai ringgit pada 1998. Dari segi industri terutama bagi industri telekomunikasi kita dapati banyak daripada denda kompaun yang dikenakan tidak selaras dengan contohnya pendapatan syarikat telco hari ini. Maka kita lihat ada keperluan menyelaraskannya,” katanya.

Menerusi rang undang-undang itu, Seksyen 211 antaranya meminda menggantikan perkataan ‘kandungan jelik’ dengan perkataan ‘kandungan yang sumbang dan lain-lain’ manakala dalam Seksyen 211 (b)(1) memotong perkataan ‘atau orang lain yang menggunakan perkhidmatan aplikasi kandungan’ serta menggantikan perkataan ‘jelik’ dengan perkataan ‘jelik melampau’.

Seksyen 211(c) pula antaranya menggantikan perkataan ‘seseorang’ dengan perkataan ‘pemberi perkhidmatan aplikasi kandungan’ selain menggantikan perkataan ‘lima puluh ribu’ dengan perkataan ‘satu juta’.

RUU itu antara lain turut menggariskan cadangan peruntukan hukuman penjara tidak lebih tempoh lima tahun atau denda RM500,000 atau kedua-duanya, bagi kesalahan yang dilakukan terhadap kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah.

Fasal 91(c) dalam RUU itu juga mencadangkan untuk memasukkan subseksyen baharu ke dalam Seksyen 233 akta itu, yang memperuntukkan hukuman berbeza dan lebih tinggi jika kesalahan dilakukan terhadap seorang kanak-kanak berumur bawah 18 tahun, yang mentafsirkan kesalahan yang dilakukan sebagai kesalahan boleh tangkap.

Subseksyen baharu itu turut memperuntukkan pesalah boleh didenda selanjutnya RM5,000 bagi tiap-tiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

Fasal 91(a)(i) pula mencadangkan penggantian perkataan ‘jelik’ dengan perkataan ‘jelik melampau’ pada Seksyen 233 (1), manakala Fasal 91(a)(ii) bertujuan untuk memasukkan unsur kesalahan yang baharu dalam subseksyen sama berhubung dengan perlakuan apa-apa fraud dan kecurangan kepada mana-mana orang.

Pada 11 Disember, Dewan Rakyat turut meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian 2024 bertujuan meningkatkan dan menggalakkan keselamatan dalam talian di Malaysia. – 28 Januari, 2025

Topics

 

◉ Hangat

[TONTON] ‘Persepsi itu wujud, tapi ia tidak benar’: Tengku Zafrul jawab naratif ‘payung kuning’

Bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri menepis dakwaan beliau bertindak sebagai orang tengah istana bagi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sambil menegaskan persepsi lama ‘payung kuning’ tidak mencerminkan realiti

[WATCH] ‘The perception exists, but it isn’t true’: Tengku Zafrul addresses ‘payung kuning’ narrative

Former Investment, Trade and Industry Minister dismisses claims that he acts as a royal intermediary for Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim, saying the long-standing 'payung kuning' perception does not reflect reality

MIH Megatrends 2024 pamerkan kesan masa lalu dan masa depan kemajuan teknologi kepada penjagaan kesihatan: Fahmi

Menteri Komunikasi juga berkata acara itu boleh melihat kepada penyelesaian yang dibantu oleh perkembangan teknologi yang dimajukan MCMC

◉ Related