◉ HEADLINES

Palsu dokumen, modus operandi sindiket tipu JPN peroleh sijil kelahiran

Sindiket ini juga dipercayai mempunyai rangkaian luar negara dan berkemungkinan besar terlibat dalam penyeludupan kanak-kanak dari luar negara yang tidak mempunyai dokumen diri sebelum dijual kepada ibu bapa berkenaan

2:46 PM MYT

 

PUTRAJAYA – Satu sindiket dikesan mengemukakan dokumen kelahiran palsu dan memperdaya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mendapatkan sijil kelahiran sah untuk dijual dalam pasaran gelap.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata modus operandi sindiket itu melibatkan beberapa individu yang bertindak sebagai pemaklum kelahiran dengan mengemukakan dokumen kelahiran palsu yang direka untuk menyerupai pengesahan rasmi daripada fasiliti kesihatan swasta berdaftar. 

Taktik berkenaan digunakan untuk memperdaya JPN agar mengeluarkan sijil kelahiran sah.

Beliau berkata sijil kelahiran sah yang dikeluarkan JPN itu, kemudian dipercayai dijual kepada ibu bapa atau penjaga yang mempunyai anak jagaan tanpa pengenalan diri atau kewarganegaraan Malaysia.

“Sindiket ini juga dipercayai mempunyai rangkaian luar negara dan berkemungkinan besar terlibat dalam penyeludupan kanak-kanak dari luar negara yang tidak mempunyai dokumen diri sebelum dijual kepada ibu bapa berkenaan,” katanya pada sidang media khas di sini hari ini.

Saifuddin Nasution berkata sindiket itu telah ditumpaskan dalam ‘Ops Tumpang’ yang dijalankan JPN bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Selasa lepas.

Beliau berkata seramai 10 warga tempatan ditahan dalam operasi khas yang dilaksanakan secara serentak di beberapa lokasi di Putrajaya, Selangor, Pulau Pinang dan Perak.

“Empat daripada mereka dipercayai dalang utama sindiket pemalsuan dokumen ini manakala enam lagi dikenal pasti sebagai pemaklum kelahiran.

“JPN tidak menolak kemungkinan akan ada tangkapan susulan, seiring dengan perkembangan siasatan,” katanya sambil menambah pihaknya mempercayai sindiket itu didalangi sepasang suami isteri yang juga peguam dan pegawai perubatan.

Saifuddin Nasution berkata sindiket terbabit dipercayai telah beroperasi selama lebih tiga tahun dan berjaya mendapatkan lebih 80 sijil kelahiran melalui modus operandi itu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) kerana mengemukakan pendaftaran kelahiran palsu. – 13 Mac, 2025

Topics

 

◉ Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

OCM in the spotlight again: Skechers collab draws flak after brand linked to Israel

With shoe sponsorship amounting to almost RM200,000, Datuk Nazifuddin Najib says sports should be free from any agenda as the aim is to provide comfort to athletes

Malaysia Airlines tops domestic flight punctuality rankings of 85.3%

National carrier led on-time performance up to May 2025, as government enforces stricter rules on delays and passenger compensation

◉ Related