HEADLINES

Kerjasama negara anggota, peluang ekonomi, kemajuan teknologi dijangka inti pati Kenyataan Negara PM pada BRICS

Perdana Menteri dijadual menyampaikan Kenyataan Negara bertemakan Membentuk Masa Depan ke arah Pertumbuhan Global yang Inklusif pada Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-18 hari ini

9:16 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kepentingan memperkukuhkan kerjasama antara negara anggota dan negara rakan selain usaha menangani cabaran pembangunan merupakan antara intipati Kenyataan Negara, yang akan disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-18 di New Delhi, hari ini.

Bertemakan Membentuk Masa Depan ke arah Pertumbuhan Global, Anwar dijangka turut menzahirkan usaha memperluaskan peluang ekonomi selain memastikan manfaat kemajuan teknologi dan inovasi dapat dinikmati secara lebih inklusif atau terangkum oleh semua negara.

Penyertaan Malaysia dalam sidang kemuncak itu adalah sejajar dengan kapasitinya sebagai Negara Rakan BRICS sejak 1 Januari 2025.

Anwar yang juga Menteri Kewangan, diiringi oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan.

Perdana Menteri akan menyertai sesi bergambar bersama barisan pemimpin BRICS, negara rakan serta jemputan lain sebelum berlepas ke Kozhikode (Calicut), Keralam, bagi meneruskan lawatan beliau ke India.

Di Keralam, Anwar akan bertemu dengan Mufti Besar India Sheikh Abubakr Ahmad untuk saling bertukar pandangan mengenai pembangunan masyarakat, pemerkasaan pendidikan serta kesefahaman dan keharmonian antara agama.

Agenda lain lawatan itu menyaksikan Perdana Menteri dijadual bertemu Ketua Menteri Keralam Thiru V. D. Satheesan dan Gabenor Keralam Thiru Rajendra Vishwanath Arlekar.

Pertemuan itu bertujuan memperkukuh kerjasama dua hala antara Malaysia dan negeri berkenaan dalam sektor utama seperti perdagangan dan pelaburan, pelancongan, penjagaan kesihatan dan pendidikan.

Perdana Menteri kemudiannya dijadual berlepas ke Maldives pada 14 September ini.

Dalam pada itu, Anwar turut mengambil kesempatan di sela-sela majlis makan malam bersempena dengan Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18 untuk berbincang dengan beberapa pemimpin dunia mengenai pelbagai isu termasuk perkembangan geopolitik dunia.

Antara pemimpin ditemui ialah Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi, Presiden Indonesia Prabowo Subianto, Presiden Kazakhstan Kassym-Jomart Tokayev, Timbalan Perdana Menteri Uzbekistan Jamshid Kuchkarov.

Selain mereka, Anwar juga bertemu dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) António Guterres serta Ketua Pengarah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) Ngozi Okonjo-Iweala.

“Bicara kami menyentuh perkembangan geopolitik dunia, khususnya konflik dan krisis kemanusiaan yang terus berlarutan di Gaza serta ketegangan di Asia Barat,” katanya dalam satu hantaran di media sosial beliau.

Beliau berkata keadaan itu menuntut kesatuan masyarakat dan pimpinan dunia untuk menghentikan pertumpahan darah dan mengusahakan penyelesaian yang adil serta berkekalan. – 13 September, 2026

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Cleared for layoffs? AirAsia to retrench 20% of workforce in major cost-cutting move

This allegedly involves cabin services, cargo and logistics, engineering and maintenance, as well as the commercial division, according to Scoop’s source

Related