KUALA LUMPUR – Tindakan platform e-hailing inDrive yang berpengkalan di Rusia mengisytiharkan operasi mereka berjalan seperti biasa (“business as usual”) adalah sesuatu yang “tidak sepatutnya berlaku” kerana Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) telah pun memberi amaran dan surat penutupan, kata Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar).
Dalam satu kenyataan tegas, Penghantar menyifatkan kegagalan mengambil tindakan yang pantas dan keras terhadap platform e-hailing haram seperti inDrive hanya akan melemahkan kredibiliti penguatkuasaan serta menjejaskan integriti industri e-hailing negara.
“Tindakan InDrive membuat kenyataan awam `business as usual’ adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku, kerana Apad sudah pun memberi amaran dan surat penutupan operasi kepada mereka. Sudah tiba masanya Apad menjalankan tanggungjawab penguatkuasaan dengan lebih serius,” kata Penghantar dalam kenyataan hari ini.
Meskipun Penghantar mengalu-alukan arahan terbaharu Apad agar inDrive menyerahkan lesen dan menghentikan operasi dalam tempoh tiga bulan, mereka mempersoalkan kelewatan tindakan tersebut serta sebab platform-platform ini dibiarkan beroperasi begitu lama walaupun banyak aduan telah dibuat oleh pemandu lain.
Bagi memulihkan kepercayaan orang ramai dan menegakkan standard industri, Penghantar mengemukakan tiga tuntutan utama: Apad perlu segera mengeluarkan kenyataan rasmi dan menjelaskan tindakan terhadap inDrive dan Maxim, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) perlu menyekat akses kepada aplikasi-aplikasi ini serta-merta, dan kerajaan harus menunjukkan komitmen yang lebih kukuh terhadap keselamatan pemandu dan penumpang, serta menjamin keadilan dalam industri gig e-hailing.
Penghantar turut mempersoalkan status sebenar satu lagi aplikasi dari Rusia, Maxim, yang difahamkan turut menerima notis penutupan, tetapi masih kelihatan terus beroperasi.
“Kedua-dua Platform E-Hailing ini didapati terus menawarkan perkhidmatan mereka, walaupun tidak mematuhi peraturan-peraturan di bawah akta sedia ada… Ini bukan sahaja tidak adil kepada pemandu-pemandu yang mempunyai Lesen PSV yang sah, malah turut menjejaskan keselamatan penumpang yang menggunakan perkhidmatan mereka,” kata kenyataan itu.
Penghantar memberi amaran bahawa aplikasi yang telah diharamkan mungkin akan mencari jalan untuk terus beroperasi seperti yang pernah berlaku sebelum ini.
“Kita tidak mahu walaupun kelak ia telah diharamkan, tetapi aplikasi-aplikasi ini masih terus beroperasi dengan menggunakan kaedah lain. Ini telah pun terbukti beberapa tahun yang lepas,” katanya.
Tambah mereka, kegagalan bertindak tegas bukan sahaja mengorbankan nyawa dan kepercayaan pengguna, tetapi turut menjejaskan mata pencarian pemandu yang mematuhi undang-undang dan keseluruhan masa depan ekonomi gig dalam sektor pengangkutan negara.
“Kegagalan untuk bertindak hanya akan mengorbankan nyawa, kepercayaan pengguna dan kelangsungan pemandu-pemandu E-Hailing yang mematuhi undang-undang, serta akhirnya merosakkan Industri GiG Sektor E-Hailing di Malaysia,” tegasnya.
Dalam laporan Scoop, 2 Mei lalu, Apad telah mengeluarkan notis penamatan kepada inDrive dan memberikan tempoh tiga bulan untuk menyerahkan semula Lesen Perniagaan Pengantaraan (IBL) mereka kerana didapati tidak mematuhi peraturan yang diperkenalkan sejak 2019.
Penarikan lesen itu, yang akan berkuat kuasa pada 24 Julai, adalah susulan beberapa amaran dan surat tunjuk sebab yang dikeluarkan atas pelanggaran termasuk membenarkan pemandu tanpa lesen sah untuk beroperasi. inDrive pula dilaporkan telah mengarahkan pemandu mereka untuk terus beroperasi sementara menunggu maklum balas daripada pihak berkuasa. Aplikasi itu kini beroperasi di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, dan Johor Bahru.
Ini merupakan tindakan kedua terhadap syarikat e-hailing dari Rusia selepas lesen Maxim ditarik balik oleh Apad pada 2023 atas kesalahan yang sama. – 6 Mei 2025
