KUALA LUMPUR – Peruntukan tambahan kepada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) perlu ditingkatkan sehingga RM100 juta bagi menyokong penerokaan pasaran baharu serta membantu pengeksport perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mendepani isu tarif Amerika Syarikat (AS).
Bercakap kepada Scoop, Presiden Kebangsaan SME Malaysia Chin Chee Seong, berkata ketika ini jumlah eksport keseluruhan pengeksport PKS adalah 11% yang mana antara 6 hingga 8% adalah ke AS.
“Mungkin akan ada (PKS) yang terkesan tapi bukan semua, namun yang pentingnya, kalau kita hilang pasaran AS, kita perlu pasaran lain untuk menampung ‘kehilangan eksport’ itu, sebab itu perlu jalan lain untuk bantu, teroka pasaran negara lain.
“Peruntukan tambahan RM50 juta (kepada Matrade) itu bagus, tapi kalau boleh beri lebih suntikan hingga RM100 juta lebih bagus, supaya Matrade dapat promosikan lebih produk dari Malaysia.
“Itu yang penting, kalau boleh juga tolong macam mana dia boleh bantu kita (PKS) untuk pasaran di China atau pasaran negara yang sedia ada berdagang dengan kita.
“Kadang nak tembus pasaran tertentu bukan senang, jadi Matrade boleh menjadi pembuka jalan untuk terokai pasaran lain,” katanya.
Terdahulu, dalam ucapannya di Dewan Rakyat pada hari Isnin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan setuju meningkatkan skim jaminan sebanyak RM1 bilion menerusi skim jaminan pembiayaan pernigaaan khusus untuk membantu pengeksport PKS mendepani isu tarif AS.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan juga bersetuju menambah dana pembiayaan mudah sebanyak RM500 juta melaiui institusi pembangunan kewangan untuk manfaat usahawan PKS yang terjejas.
Katanya, kerajan juga menyediakan peruntukan tambahan RM50 juta kepada Matrade bagi menyegerakan usaha penerokaan pasaran baharu.
Mengulas lanjut, Chee Seong berkata, pengumuman inisiatif terbabit memunjukkan kerajaan dan Perdana Menteri memahami apa yang diperlukan PKS.
“Nak minta buat pinjaman, baguslah ada tambahan RM1 bilion itu yang memang ada keperluan dalam pasaran sekiranya tarif AS itu terus mengurangkan prestasi eksport kita
“Itu boleh dikatakan ‘soft landing’ untuk kita, jika dana tambahan yang diperlukan PKS yang terkesan, tapi bukan semua orang (PKS) mampu untuk mengambil pinjaman, kerana itu kita perlukan inisiatif tambahan,” katanya.
Tambahnya, isu tarif AS juga memerlukan pertimbangan kerajaan untuk menangguhkan beberapa dasar termasuk pelaksanaan subsidi bersasar RON95 dan kadar tarif elektrik tahun ini.
“Sekarang dengan isu tarif, memang perlu untuk penangguhan itu dibuat. Kalau PKS berhadapan masalah, tambah lagi kos dan akan lagi susah.
“Kita faham kerajaan juga perlu tambah pendapatan, tapi dengan keadaan ketika ini, kita perlukan kerajaan ambil inisiatif lebih bagi membantu pihak terkesan,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta), Datuk William Ng menggesa agar semua kenaikan kos baharu dihentikan bagi membantu PKS terus bertahan.
Beliau berkata walaupun kebanyakan PKS bukan pengeksport atau pengilang, mereka tetap terkesan akibat peningkatan kos operasi dan penyusutan perbelanjaan pengguna yang berpunca daripada pelaksanaan tarif tersebut.
“Tangguh atau batal sebarang perancangan menambah beban kos, termasuk peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), serta menarik semula larangan pengambilan pekerja asing bagi sektor perkhidmatan.
“Apa yang diperlukan ketika ini adalah satu bentuk intervensi menyeluruh kerana kesan tarif ini berbeza mengikut sektor industri. Paling penting, PKS perlu mengelakkan panik kerana majoriti mereka beroperasi dalam pasaran domestik.
“Jika pengguna hilang keyakinan dan mengurangkan perbelanjaan, kesannya kepada PKS akan lebih besar berbanding impak tarif itu sendiri,” katanya. – 7 Mei, 2025

