HEADLINES

Ada yang tunggu, ‘ketuk’ pintu pejabat minta tangguh bayar hutang Mara: Asyraf Wajdi

Struktur semula pinjaman ok, tapi bukan lepaskan tanggungjawab untuk bayar pinjaman, ini duit rakyat bukan duit saya, tegas Asyraf

12:35 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – “Cukup-cukuplah datang ketuk pintu pejabat Majlis Amanah Rakyat (Mara), ini bukan soal simpati, ini soal amanah rakyat.”

Itu teguran pedas Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki kepada peminjam tegar yang culas membayar balik pinjaman walaupun sudah bertahun-tahun diberikan ruang dan masa.

Menurut beliau, bukan lagi rahsia ada peminjam yang secara terancang mengetahui jadual mesyuarat menteri atau pengerusi Mara, lalu hadir ke pejabat untuk cuba ‘mengetuk pintu’ dan merayu secara terus.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki (tengah) ketika menjadi tetamu dalam, podcast Trick Lama oleh PoDaBoom, baru-baru ini yang diterajui Ketua Pegawai Eksekutif Big Boom Media, Datuk Zainul Arifin Mohammed Isa (dua kanan); Pengarah Eksekutif Kumpulan, Datuk Ahirudin Attan (lebih dikenali sebagai Rocky Bru) (kanan) dan Ketua Pengarang Kumpulan, Terence Fernandez (kiri). – Gambar Scoop, 5 Jun, 2025

“Mereka tahu bila saya ada mesyuarat. Ada kumpulan yang memang akan tunggu depan bilik.

“Nak datang Mara untuk merayu kat Pengerusi, sorry, selesaikan dahulu pinjaman baru boleh bincang. Nak struktur semula pinjaman ok, tapi bukan lepaskan tanggungjawab untuk bayar pinjaman.

“Bagi saya, tidak, bukan ketika saya sebagai pengerusi. Saya dapat sokongan penuh menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang tahu saya tidak akan layan perkara atau rayuan sebegini.

“Sebab ini duit rakyat, bukan duit saya, saya diberi amanah untuk jaga dan ia amat penting,” tegasnya ketika menjadi tetamu episod terbaharu Trick Lama oleh PoDaBoom, podcast terbitan Big Boom Media yang turut menerbitkan Scoop, baru-baru ini.

Ia diterajui Ketua Pegawai Eksekutif Big Boom Media, Datuk Zainul Arifin Mohammed Isa; Pengarah Eksekutif Kumpulan, Datuk Ahirudin Attan (lebih dikenali sebagai Rocky Bru) dan Ketua Pengarang Kumpulan, Terence Fernandez.

Katanya lagi, pihak Mara seringkali tersepit apabila wujud campur tangan politik yang menghantar surat rayuan untuk diskaun atau penangguhan pembayaran, sekaligus menyukarkan kakitangan melaksanakan dasar secara adil.

“Kakitangan kami kadang-kadang tak boleh buat apa. Surat dari ‘atas’ datang, mereka terpaksa layan. Akibatnya, ada kes pinjaman tak dibayar selama tujuh hingga lapan tahun,” katanya.

Asyraf menegaskan, Mara kini mengambil pendekatan lebih tegas dan berprinsip, di mana notis bayaran diberi setiap tiga bulan sebelum tindakan undang-undang diambil.

“Kita bukan kejam. Kita bersedia bantu struktur semula pinjaman. Tapi jangan datang buat drama depan pejabat. Selagi hutang tak diselesaikan, tiada ruang untuk rayuan,” katanya.

Beliau turut menegaskan sokongan penuh diberikan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, terhadap dasar ketegasan ini demi menjaga amanah dana pendidikan untuk masa depan pelajar Bumiputera.

“Bayangkan, jika satu peminjam berhutang RM500,000 dan enggan bayar, itu hak 100 pelajar lain yang hilang. Kita mesti jaga keadilan untuk semua, bukan hanya yang pandai ‘ketuk pintu’,” katanya. – 5 Jun, 2025

Topics

 

Hangat

Harimau Malaya is TMJ’s vision: CEO

Rob Friend describes Johor Crown Prince as 'the visionary' behind Harimau Malaya’s heritage player initiative

MCMC recorded nearly 9,500 reports on cyberbullying in the last three years

Online scams are just behind with 9,321 complaints; 143 reports on child sexual content

Taib Mahmud: a life of controversies and political intrigue

The diminutive and flamboyant Tun Abdul Taib Mahmud has left an indelible mark on Sarawak and the country, seeing that he was its chief minister for 33 years and later, the governor for nearly a decade.

Related