KUALA LUMPUR — Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menjelaskan beliau dan suami, Yin Shao Loong menunaikan ibadah haji dengan menaiki penerbangan komersial dan menggunakan wang simpanan sendiri.
Menurut Nurul Izzah, mereka menunaikan ibadah berkenaan melalui visa mujamalah dengan urusan logistik termasuk tempat tinggal dan pengangkutan diatur oleh agensi pelancongan berlesen, Mimm Travel.
“Banyak hantaran dan mesej berkaitan fitnah telah dikirim kepada saya. Apabila ada sesuatu yang tidak benar tersebar begitu jauh dari hakikat sebenar, maka ia perlu diperbetulkan.
“Tiada jet peribadi seperti yang difitnah. Perjalanan dilakukan sama seperti jutaan jemaah Haji yang lain,’’ katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Sebelum ini terdapat dakwaan di media sosial bahawa Nurul Izzah dan suaminya menerima pakej mewah untuk menunaikan ibadah haji.
Sementara itu, Nurul Izzah sempat berkongsi pengalamannya menghadiri sesi ilmu bersama Sheikh Dr Omar Suleiman, Dr Tahir Wyatt dan juga Ustaz Dr Mohd Amirul Hassan Ahmaf Tajuddin yang disifatkannya sebagai suatu pengalaman yang sangat menyentuh hati.
“Paling bermakna, dapat melaksanakan ibadah Haji bersama suami, khususnya di Arafah, tempat di mana Allah SWT menurunkan ayat ke-3, Surah al-Maidah yang memberitahu bahawa Allah SWT telah menyempurnakan agama kita.
“Dalam kita berbeza pandangan dan bertarung dalam medan politik di dunia, janganlah sehingga ibadah dijadikan sebagai bahan tohmahan dan fitnah.
“Biarlah kita saling mendoakan, semoga Allah SWT mengurniakan rezeki dan peluang kepada lebih ramai umat Islam untuk menjadi tetamu-Nya – dalam keadaan yang dimudahkan, diterima amal, dan dijauhkan daripada fitnah manusia,’’ katanya. – 8 Jun, 2025
