KUALA LUMPUR – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengesahkan 42 penuntutnya terlibat dan telah membuka sebuah bilik gerakan khas susulan nahas jalan raya yang meragut nyawa 15 pelajar dalam kejadian tragis di Gerik, Perak awal pagi tadi.
Bahagian Komunikasi Korporat UPSI dalam satu kenyataan pada Ahad memaklumkan pihaknya telah menerima laporan awal berhubung kemalangan itu dan kini sedang mengambil tindakan susulan bagi menangani situasi berkenaan.
Bahagian itu turut memaklumkan sepatutnya 44 pelajar menaiki bas berkenaan.
Bilik gerakan tersebut dibuka bagi menyelaras segala tindakan dan maklumat berkaitan insiden membabitkan sebuah bas persiaran yang dinaiki pelajar UPSI.
“Sehubungan itu, pihak universiti memohon seluruh warga UPSI dan masyarakat umum untuk bersama-sama mendoakan agar segala urusan dipermudahkan,” kata kenyataan itu lapor Sinar Harian.
Bahagian Komunikasi Korporat UPSI turut menegaskan komitmen pihaknya untuk terus memberi bantuan serta sokongan kepada keluarga mangsa yang terlibat.
“Universiti ini sentiasa prihatin terhadap kebajikan pelajar dan akan memastikan segala bentuk bantuan disalurkan sebaik mungkin kepada waris,” ujar kenyataan tersebut.
Tragedi yang berlaku itu menggemparkan warga institusi pengajian tinggi dan mencetuskan suasana pilu dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya keluarga mangsa.
Bagi sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi bilik gerakan di talian 05-450 7148 (Pejabat) atau 019-571 9977 (Hotline).
Sementara itu, sejumlah tujuh mangsa dirawat di zon merah, 20 di zon kuning dan enam lagi mangsa di zon hijau.
Terdahulu, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam (APM) Hulu Perak dalam kenyataan memaklumkan sekurang-kurangnya 15 maut dalam kemalangan melibatkan sebuah bas yang membawa pelajar UPSI dan sebuah kenderaan di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Banun, Gerik awal pagi tadi.
PKOD APM Hulu Perak memaklumkan pihaknya menerima panggilan berhubung insiden itu dari Hospital Gerik pada kira-kira jam 1 pagi tadi. – 9 Jun, 2025
