KUALA LUMPUR – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sekali lagi menegaskan tindakan berundur dari Umno adalah sepenuhnya pilihan peribadi, tanpa sebarang paksaan.
“Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa keputusan untuk berundur daripada Umno adalah pilihan peribadi saya sepenuhnya, bukan atas sebarang paksaan.
“Saya akui, ia bukanlah suatu keputusan yang mudah, namun saya telah menimbangkan semua pandangan dan pendapat yang diberikan dengan cukup mendalam,” katanya dalam perkongsian di akaun Instagram miliknya hari ini.
Dalam muat naik tersebut, beliau turut menafikan khabar akan menyertai Pilihan Raya Kecil (PRK) baik di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) mahupun Parlimen ekoran hasratnya menyertai PKR.
“Saya ingin menjelaskan bahawa tiada sebarang perbincangan tentang perkara ini pernah berlaku, dan ia bukan sebahagian daripada pertimbangan saya dalam membuat keputusan ini.
“Saya sememangnya tidak bersetuju dengan konsep pencetusan PRK tanpa keperluan yang mendesak, kerana PRK juga melibatkan masa dan duit Rakyat,” katanya yang bersyukur selesai menyempurnakan ibadah Haji bersama isteri.
Bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno dan Ketua Umno Bahagian Kota Raja itu berjanji akan terus melaksanakan tugas sebagai seorang Ahli Dewan Negara sehingga tamat tempoh perkhidmatan bulan Disember 2025.
Mengulas kedudukannya sebagai Menteri, beliau turut menyerahkan sepenuhnya isu ini kepada budi bicara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sentiasa bersedia untuk berkhidmat kepada negara dalam apa jua kapasiti.
Baru-baru ini Tengku Zafrul telah mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Ketua Umno Bahagian Kota Raja dan ahli Umno serta menyatakan hasrat menyertai PKR.
Susulan itu, pelbagai kenyataan dikeluarkan pemimpin parti yang mempersoalkan mengenai adab kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan selain mengecam PKR yang seolah meraikan hasrat Tengku Zafrul. – 9 Jun, 2025
