KUALA LUMPUR – Kes saman bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad terhadap bekas Ketua Pengarang Free Malaysia Today (FMT) Abdar Rahman Koya selesai apabila defendan (Rahman) mengaku silap ketika membuat berita tentang Khalid pada 2020 lalu.
Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh kedua-dua pihak dan disahkan oleh mahkamah, Rahman mengaku berita yang dibuat tidak tepat dalam nada dan maksud berita tersebut.
“Defendan (Rahman Koya) melahirkan kesal di atas segala masalah, kesusahan dan reputasi yang terjejas ekoran dari penerbitan tulisan yang disiarkan pada 26 Februari 2020,” kata kenyataan bersama kedua-dua pihak itu.
Hakim Alice Loke Yee Ching mengesahkan persetujuan kedua-dua pihak tanpa mengenakan sebarang kos.
Dalam berita yang disiarkan oleh FMT itu, Rahman ketika menjadi ketua pengarang media berkenaan telah menyiarkan berita bertajuk “Khalid presses on, tells Dr M to make way for Anwar” yang dibuat berasaskan ciapan yang dibuat oleh Khalid menerusi twitternya.
Ekoran itu, Khalid menghantar notis saman melalui peguam Sankara Nair kepada FMT kerana mendakwa berita itu tidak betul dan mengelirukan.
FMT bersetuju untuk menarik balik berita itu dan memohon maaf kepada Khalid.
Namun begitu, kenyataan menarik balik dan meminta maaf yang dibuat oleh FMT sangat pelik kerana ia tidak kelihatan di laman utama FMT dan juga media sosialnya. Hanya ada link kepada berita itu sahaja yang diserahkan kepada peguam.
Ekoran itu, Khalid menyaman Rahman, sebagai ketua pengarang dan penulis dan FMT. Namun selepas beberapa perkembangan dan maklumat dari FMT, Khalid menarik balik samannya terhadap FMT tetapi mengekalkan saman terhadap Rahman.
Menurut kenyataan bersama itu lagi, Khalid juga bersetuju untuk tidak mengenakan sebarang kos termasuk kos guaman terhadap Rahman.
“Tindakan ini saya lakukan sebagai tanda hormat kepada ayah beliau, Haji Koya Kutty yang saya kenal dan hormat.
“Haji Koya, pengasas The Other Press adalah penerbit buku dan majalah Islam yang saya segani dan penerbitan beliau telah menyumbang terhadap pemahaman perjuangan dan pemikiran Islam yang saya cuba hayati sejak zaman muda saya hingga sekarang,” akur Khalid yang cukup menggemari majalah terbitannya berjudul Readings in Islam. – 30 Jun, 2025
