PUTRAJAYA – Prosiding di Mahkamah Persekutuan hari ini bertukar menjadi majlis perpisahan buat wanita pertama dilantik sebagai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, apabila beberapa peguam bangkit mengucapkan selamat tinggal kepadanya.
Selain Tengku Maimun yang akan menamatkan perkhidmatannya kerana mencapai usia persaraan wajib, ucapan khas itu turut ditujukan kepada Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim yang akan tamat perkhidmatan pada Khamis.
Peguam Anand Raj, yang berucap bagi pihak Majlis Peguam Malaysia, berkata ucapan perpisahan itu sebagai tanda penghormatan kepada kepimpinan luar biasa Tengku Maimun sebagai Ketua Hakim Negara.
“Hari ini kita bukan sekadar menyaksikan tamatnya perkhidmatan seorang Ketua Hakim Negara, tetapi juga meraikan legasi luar biasa yang telah mengubah wajah kehakiman Malaysia secara menyeluruh.
“Tun (Tengku Maimun) bukan sahaja Ketua Hakim wanita pertama dalam sejarah negara, malah telah memperkukuhkan kembali maruah badan kehakiman yang pernah tercalar akibat krisis kehakiman pada 1988.
“Kepimpinan beliau telah memulihkan keyakinan awam terhadap institusi ini dan meletakkannya setaraf dengan kehakiman terbaik di Komanwel,” katanya yang juga Timbalan Presiden Majlis Peguam Negara, lapor BH.
Ucapan penghargaan turut disampaikan, peguam kanan Datuk Gurdial Singh Nijar yang menyifatkan Tengku Maimun sebagai tokoh yang memartabatkan kebebasan kehakiman, terutama ketika institusi itu berdepan tekanan dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
“Cadangan untuk melanjutkan tempoh perkhidmatan beliau bukanlah cubaan mempolitikkan institusi kehakiman, sebaliknya ia lahir daripada rasa hormat terhadap mutu penghakiman beliau yang menepati standard antarabangsa,” katanya.
Peguam Lim Wei Jiet pula menyifatkan Tengku Maimun sebagai sumber inspirasi kepada generasi baharu dalam bidang perundangan.
“Kesetiaan Tun (Tengku Maimun) terhadap Perlembagaan Persekutuan, kedaulatan undang-undang dan doktrin pengasingan kuasa telah mencetuskan semula kebangkitan semangat perundangan di negara ini,” katanya.
Peguam Raja Eileen Soraya Raja Aman yang turut hadir di galeri awam, bangkit berdiri secara spontan.
“Tolonglah tinggalkan pejabat dengan ‘heads high’ kerana anda telah membolehkan kami juga untuk mendongak dengan bangga,” katanya penuh emosi.
Tengku Maimun yang turut mewakili Abang Iskandar menzahirkan penghargaan kepada Majlis Peguam Malaysia dalam satu ucapan ringkas pada hari terakhir beliau itu, sebaik empat peguam terbabit usai menyampaikan ucapan selamat tinggal itu mereka.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada anda atas kata-kata anda, Majlis Peguam Malaysia sentiasa berdiri di belakang kami, (dan) kami menghargai sokongan anda.
“Semua sokongan diberikan oleh anda dalam masa mencabar yang kita hadapi, apabila badan kehakiman diserang. Kita boleh katakan kita telah dipertahankan oleh Majlis Peguam Malaysia dan beberapa badan serta individu lain.
“Untuk itu, saya bersyukur. Terima kasih atas semua ucapan yang baik. Kami mengucapkan selamat maju jaya kepada semua ahli majlis peguam semoga anda berjaya dalam semua usaha anda.
“Terima kasih, mahkamah ditangguhkan,” katanya. – 1 Julai, 2025
