KUALA LUMPUR – Tiga wanita membuat laporan polis secara berasingan hari ini terhadap seorang penceramah bebas terkenal, selepas mendakwa ditipu sehingga mengalami kerugian keseluruhan mencecah RM200,000.
Difahamkan ketiga-tiga wanita berusia lingkungan 30-an hingga 40-an itu membuat laporan di balai polis berasingan hari ini.
Kesemua aduan adalah berkaitan transaksi pinjaman wang yang dikatakan untuk membantu urusan sekolah agama di Lembah Klang dan urusan jemaah umrah.
Memetik laporan BH, seorang wanita berusia 41 tahun membuat laporan di Balai Polis Seksyen 9, Shah Alam, selepas mendakwa menyerahkan wang RM60,000 kepada individu terbabit selepas menerima mesej di aplikasi WhatsApp berhubung permintaan untuk menyelesaikan urusan jemaah umrah.
Menurut mangsa, wang itu dimasukkan ke akaun bank milik sebuah syarikat yang dikaitkan dengan sekolah agama berkenaan.
Wanita kedua berusia 39 tahun pula membuat laporan di Balai Polis Bukit Jelutong, Shah Alam, membabitkan tiga transaksi wang berjumlah RM60,000 yang didakwa dipinjam individu sama antara Ogos hingga September 2020.
Mangsa itu mendakwa wang terbabit dipinjamkan kepada individu sama atas alasan membantu urusan pembangunan sekolah agama miliknya, termasuk kos pentadbiran dan penyelenggaraan.
Wanita terbabit mendakwa mengenali individu itu melalui ceramah agama secara langsung di media sosial dan pernah hadir ke beberapa sesi ceramah anjuran sekolah berkenaan.
Laporan ketiga dibuat di Balai Polis Wangsa Maju oleh seorang wanita berusia 44 tahun yang mendakwa menyerahkan sejumlah wang secara berperingkat berjumlah RM80,000 kepada individu terbabit sebagai ‘pelaburan’ untuk membeli sekolah agama sama.
Jelas pengadu, bayaran tambahan turut diminta beberapa kali dengan pelbagai alasan, termasuk mendakwa pelaburan ditangguh dan perlu diselesaikan semula.
Ketua Polis Daerah Wang Maju, Asisten Komisioner Mohd Lazim Ismail, mengesahkan laporan polis berkenaan, namun kes itu dirujuk ke Polis Daerah Gombak.
“Laporan dibuat di Wangsa Maju tetapi laporan dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak kerana tempat berlaku di kawasan pentadbiran IPD Gombak,” katanya.
Terdahulu, individu sama tular di media sosial selepas dikaitkan dengan dakwaan rakaman video terlarang bersama beberapa wanita yang didakwa isterinya selain memiliki gambar aib wanita lain.
Lelaki berkenaan direman empat hari hingga hari ini dan diberikan jaminan polis sementara proses melengkapkan siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955. – 5 Julai, 2025
