KUALA LUMPUR – Keputusan sama ada Jabatan Peguam Negara (AGC) boleh merayu kebenaran diberikan kepada Datuk Seri Najib Razak meneruskan prosiding semakan kehakiman bagi menguatkuasakan titah adendum berkait tahanan rumah akan ditetapkan Mahkamah Persekutuan Rabu depan.
Peguam kanan persekutuan, Shamsul Bolhassan, mengesahkan perkara itu ketika dihubungi media hari ini.
Terdahulu, pada 9 Julai lalu, panel tiga hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Malaya Tan Sri Hasnah Hashim menangguhkan keputusan selepas mendengar hujahan daripada Shamsul dan peguam Najib, Tan Sri Shafee Abdullah.
Turut menganggotai panel tersebut ialah Hakim Datuk Zabariah Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah.
Peguam negara merayu untuk mengetepikan keputusan majoriti 2-1 oleh Mahkamah Rayuan pada 6 Jan yang membenarkan Najib mengemukakan keterangan baharu dan memberikan kebenaran kepadanya untuk memulakan semakan kehakiman.
Mantan Perdana Menteri itu mahu kerajaan melaksanakan titah adendum bertarikh 29 Jan 2024 yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, yang membenarkan beliau menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.
Najib mengetahui tentang titah adendum itu sejurus selepas Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengumumkan pada awal Februari tahun lalu bahawa hukuman penjara dalam kes SRC International dikurangkan kepada enam tahun dan denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Beliau memohon kebenaran untuk semakan kehakiman pada April lalu, dengan bergantung pada afidavit yang difailkan oleh Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berdasarkan apa yang mereka dakwa dibaca melalui telefon bimbit Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz.
Permohonan itu ditolak Mahkamah Tinggi pada Julai tahun lalu.
Najib kemudiannya membuat rayuan. Anaknya, Datuk Muhammad Nizar memfailkan afidavit sebelum pendengaran Mahkamah Rayuan bagi menyokong permohonan bapanya untuk mengemukakan keterangan baharu, yang dibenarkan oleh mahkamah tersebut.
Nizar mendakwa Pengelola Bijaya Diraja Ke-Bawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman mengesahkan kewujudan titah adendum itu.
Sementara itu, Peguam Negara Datuk Dusuki Mokhtar pada 2 Julai mengakui kewujudan dokumen tersebut tetapi mempertikaikan ketulenannya.
Shafee ketika memberi maklum balas berkata, merit kes itu sepatutnya didengar di Mahkamah Tinggi sekiranya Peguam Negara mengakui kewujudan dokumen tersebut. – 7 Ogos, 2025
