HEADLINES

4 pemimpin dunia Trump, Xi, Lula dan Ramaphosa dijangka hadir Sidang Kemuncak Asean : PM

Anwar berkata ujian sebenar adalah memastikan lawatan mereka membawa hasil yang berkekalan apatah lagi seluruh dunia sedang memerhati

4:05 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump; Presiden China, Xi Jinping; Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva; dan Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa adalah antara pemimpin dunia yang dijangka menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-47 di Malaysia, Oktober ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mewakili Malaysia selaku Pengerusi Asean berkata, pengesahan positif itu diterima daripada Lula dan Ramaphosa.

Sementara, Trump, katanya telah menyatakan persetujuan untuk hadir selepas perbualan telefon baru-baru ini.

“Mendapatkan kehadiran mereka hanyalah langkah pertama. Ujian sebenar ialah memastikan mereka pulang dari Malaysia dan Asean dengan rasa bahawa masa mereka di sini benar-benar berbaloi. Kita mesti memastikan lawatan mereka membawa hasil yang berkekalan nilainya. Seluruh dunia sedang memerhati. Justeru, kita mesti bangkit menyahut cabaran ini,” katanya, lapor Bernama.

Anwar berkata demikian dalam ucapannya sempena sambutan Hari Asean ke-58 di Cyberjaya, hari ini, bersempena ulang tahun ke-58 penubuhan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (Asean), yang bertemakan Ke Arah Masa Depan Asean yang Inklusif dan Lestari.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump telah menyatakan persetujuan untuk hadir selepas perbualan telefon dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini. – Gambar sosial media, 8 Ogos, 2025

Ulang tahun penubuhan Asean, katanya, merupakan detik penting untuk menilai semula dan merenung sejauh mana kemajuan yang telah dicapai oleh blok itu serta hala tuju yang mendatang.

Malaysia, selaku Pengerusi Asean bagi 2025, akan menjadi tuan rumah sidang kemuncak tersebut di Kuala Lumpur dengan tema “Keterangkuman dan Kelestarian”, yang bakal menghimpunkan para pemimpin dari 10 negara anggota serta rakan dialog bagi membincangkan isu-isu keselamatan serantau, kerjasama ekonomi, dan cabaran global yang mendesak.

Menurut Anwar, visi dan sumbangan para pemimpin terdahulu yang melihat melangkaui kepentingan domestik dan mengambil kira keperluan negara jiran, rantau ini serta dunia — masih kekal relevan meskipun berdepan cabaran pasca kemerdekaan dan ketegangan geopolitik.

“Dan saya berani katakan tanpa sebarang keterlaluan bahawa para pengasas Asean pasti akan melihat kemajuan kita dengan penuh kebanggaan,” katanya.

Namun beliau menegaskan Asean tidak seharusnya beranggapan bahawa ia telah melangkaui dorongan dan kebimbangan asal para penandatangan Deklarasi Bangkok 1967 — Adam Malik (Indonesia), Tun Abdul Razak (Malaysia), Narciso Ramos (Filipina), S. Rajaratnam (Singapura), dan Thanat Khoman (Thailand).

“Para bapa pengasas Asean memahami bahawa tugas utama rantau ini ialah memastikan negara-negara Asia Tenggara dapat hidup bersama dalam suasana harmoni dan kerjasama.

“Mereka juga sedar bahawa Asia Tenggara mesti mengambil tanggungjawab utama terhadap keamanannya sendiri, keselamatannya sendiri, dan kemakmurannya sendiri. Kepercayaan itu masih menjadi nadi kepada ASEAN,” katanya, sambil menambah bahawa prinsip tersebut kekal relevan hingga ke hari ini.

“Keamanan antara negara, dan keamanan dalam negara — inilah asas kepada komuniti serantau kita. Kita tidak boleh mengambilnya mudah, dan kita juga tidak boleh mengabaikan tanggungjawab kita untuk mencari penyelesaian serantau terhadap masalah serantau,” tegasnya.

Merujuk kepada peningkatan ketegangan baru-baru ini di sempadan Kemboja-Thai, Perdana Menteri berkata insiden itu menjadi peringatan tentang betapa pantasnya konflik boleh tercetus jika tidak ditangani dengan segera.

Beliau berkata, perjanjian gencatan senjata antara kedua-dua negara jiran itu berjaya dicapai hasil sokongan penuh dan solidariti semua pemimpin ASEAN.

“Sebagai Pengerusi, Malaysia telah memainkan peranan secara konstruktif dalam memudah cara rundingan antara kedua-dua negara. Saya ingin merakamkan penghargaan kepada sokongan dan mandat daripada rakan-rakan saya — Sultan Brunei (Sultan Hassanal Bolkiah), para presiden dan perdana menteri ASEAN — yang secara konsisten memberikan sokongan dan pengiktirafan penuh. Ini merupakan satu pencapaian yang luar biasa,” katanya.

Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir pada sambutan Hari Asean ke-58 di Cyberjaya, hari ini. – Gambar Facebook Anwar Ibrahim, 8 Ogos, 2025

Asean ditubuhkan pada 8 Ogos 1967 di Bangkok, melalui pemeteraian Deklarasi Bangkok oleh lima negara pengasas — Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand — yang diwakili oleh menteri luar mereka: Adam Malik, Tun Abdul Razak, Narciso Ramos, S. Rajaratnam dan Thanat Khoman.

Penubuhan Asean bertujuan untuk memupuk keamanan, kestabilan dan kerjasama serantau dalam menghadapi cabaran pasca-penjajahan dan ketegangan era Perang Dingin.

Keanggotaan Asean kini telah berkembang kepada 10 negara, dengan Brunei menyertai pada 1984, Vietnam (1995), Laos dan Myanmar (1997), dan Kemboja (1999). Timor-Leste telah diterima secara prinsip pada tahun 2022 dan sedang menjalani proses keahlian penuh.

Kini, ASEAN mempunyai gabungan penduduk melebihi 680 juta orang dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melebihi AS$3.6 trilion (2024), menjadikannya ekonomi kelima terbesar di dunia. ASEAN beroperasi berdasarkan prinsip konsensus dan tidak campur tangan, dengan fokus pada kerjasama politik dan keselamatan, integrasi ekonomi, serta pembangunan sosio-budaya di bawah kerangka Komuniti ASEAN yang ditubuhkan pada 2015. – 8 Ogos, 2025

Topics

 

Hangat

[UPDATED] Welcome back to the Black Parade: My Chemical Romance set to rock Malaysia in 2026

Emo legends to play Bukit Jalil on April 30 as part of their long-awaited world tour, with Malaysian tickets ranging from RM299 to RM1,099 and sales opening on July 11, 2025

Over 23.6 million to benefit as new electricity tariff kicks in July 1

The Energy Commission has set a new average base tariff of 45.40 sen/kWh for RP4, slightly lower than before, bringing overall electricity costs down by up to 19% compared to the previous regulatory period

ASNB announces RM2.18 bil dividend payout

ASB 2 declares distribution of 5.50 sen per unit to 614,309 unitholders while ASM declares five sen per unit to 740,513 unitholders

Related