JAKARTA – Situasi tunjuk perasaan semakin memuncak di Indonesia bagi menuntut keadilan di atas kematian penunggang motosikal Gojek, Affan Kurniawan, 21, yang dilanggar oleh kenderaan taktikal polis (Brimob), pada Khamis.
Mereka berkumpul di hadapan bangunan ibu pejabat Polis di sini, hari ini dan dilaporkan menyerbu masuk ke bangunan berkenaan, memaksa pihak berkuasa melepaskan gas pemedih mata, lapor BBC.
Protes yang diadakan itu juga menyebabkan beberapa sekolah membenarkan pelajar pulang awal manakala bank dan perniagaan meminta kakitangan mereka bekerja dari rumah.
Selain itu, video tular yang disiarkan media tempatan turut menunjukkan anggota tentera telah dikerahkan ke kawasan terlibat dengan protes.
Affan, telah dilanggar berhampiran Parlimen ketika polis cuba menyuraikan tunjuk perasaan yang diadakan bagi membantah beberapa isu termasuk gaji Ahli Parlimen dan pembiayaan pendidikan, Khamis lalu.
Ketika kejadian, Affan, sedang membuat penghantaran dan dilaporkan tidak terlibat dalam protes anjuran kesatuan sekerja tersebut.
Affan dihantar ke Hospital Cipto Mangunkusumo di tengah Jakarta, namun meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya
Sementara itu, Presiden Prabowo Subianto, dalam satu rakaman video khas, meminta semua pihak supaya bertenang dan turut menyampaikan takziah atas kematian Affan Kurniawan serta mengarahkan siasatan menyeluruh terhadap insiden itu.
Menurutnya, sekiranya anggota polis yang terlibat didapati bertindak secara tidak wajar dan di luar peraturan, tindakan paling tegas selaras dengan undang-undang akan diambil.
“Saya terkejut dan kecewa dengan tindakan berlebihan oleh anggota bertugas.
“Saya telah mengarahkan supaya insiden malam tadi disiasat secara menyeluruh dan telus, serta anggota yang terlibat mesti dipertanggungjawabkan. Sekiranya didapati mereka bertindak secara tidak wajar dan di luar peraturan yang berkuat kuasa, kami akan mengambil tindakan paling tegas selaras dengan undang-undang,” katanya.
Beliau juga membayangkan adanya “unsur yang sentiasa mahu mencetuskan kekacauan dan huru-hara”, sambil menggesa rakyat Indonesia agar sentiasa berwaspada.
“Dalam situasi seperti ini, saya merayu kepada semua warga agar kekal tenang dan menaruh kepercayaan kepada kerajaan yang saya pimpin. Kerajaan yang saya pimpin akan melakukan yang terbaik untuk rakyat kita,” tambahnya.
Sementara tujuh anggota polis yang terlibat telah ditahan bagi siasatan.
Dalam pada itu, pengebumian Affan telah disertai ratusan rider p-hailing yang hadir lengkap dengan seragam kerja sebagai simbol solidariti dan penghormatan terakhir kepadanya. – 29 Ogos, 2025
