KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Kehormat Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr R Thirunavukarasu Rajoo, dilantik presiden baharu persatuan tersebut.
Beliau secara rasmi menggantikan Datuk Dr Kalwinder Singh Khaira dan akan berkhidmat untuk tempoh setahun sebagai ketua persatuan doktor terbesar negara.
Sejurus lantikan, Dr Thirunavukarasu menyatakan tiga komitmen utamanya sebagai presiden iaitu memperkasa doktor dalam peranan kepemimpinan; memperjuangkan dasar yang adil dan mengembalikan autonomi profesional.
Beliau turut menggesa beberapa perkara yang perlu diteliti Kementerian Kesihatan (KKM) termasuklah dalam aspek beban kerja doktor yang berlebihan dan pelaksanaan semakan elaun ‘on-call’ dalam kadar segera.
“Daripada yuran pengamal perubatan swasta (GP) kepada jawatan kontrak, daripada amalanPentadbir Pihak Ketiga (TPA) kepada reformasi undang-undang perubatan, kita akan mendesak perubahan yang membawa keadilan dan kelestarian.
“Peranan doktor perlu diiktiraf atas kepimpinan mereka dalam menjaga kesihatan rakyat dan membimbing dasar kesihatan negara.
“Sumbangan doktor mesti melangkaui tugas klinikal dan merangkumi kepimpinan, advokasi, dan reformasi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Dalam masa sama, Dr Thirunavukarasu berkata, MMA menghargai usaha berterusan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, dalam memperjuangkan profesion perubatan di negara ini.
Beliau berkata, ia termasuklah membabitkan isu doktor kontrak, pindaan Akta Perubatan 1971 bagi pengiktirafan pakar, pendigitalan, dan pelbagai inisiatif kesihatan awam.
Namun katanya, masih terdapat cabaran serius yang dihadapi doktor termasuk dalam aspek persekitaran yang kadang-kala tidak mesra.
Dr Thirunavukarasu turut menyentuh mengenai Kertas Putih Kesihatan yang sudah diluluskan secara dwipartisan, dan mendesak supaya ia dilaksanakan secara sebenar. – 15 September, 2025
