HEADLINES

Waran tangkap sudah dikeluarkan ke atas menantu Muhyiddin

usaha sedang dijalankan dengan kerjasama agensi undang-undang antarabangsa bagi mengesan dan membawa Adlan pulang ke Malaysia

1:29 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Waran tangkap sudah dikeluarkan ke atas menantu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan yang dikehendaki bagi kes pecah amanah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, usaha sedang dijalankan dengan kerjasama agensi undang-undang antarabangsa bagi mengesan dan membawa Adlan pulang ke Malaysia.

“Insya-Allah kami akan cuba yang terbaik untuk menyelesaikan masalah ini. Setakat ini, kami tidak terima sebarang maklumat daripada Interpol. Mungkin SPRM boleh jawab persoalan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau persiapan bagi Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Media hari ini melaporkan Adlan, yang juga seorang ahli perniagaan yang telah melarikan diri lebih dua tahun lepas, kini dipercayai menjalani kehidupan mewah di sebuah negara Asia Barat.

Menurut laporan itu, beberapa gambar yang dikongsi kepada sebuah akhbar tempatan menunjukkan beliau bersama beberapa kenamaan dari Asia Barat.

Adlan dikatakan kerap keluar masuk negara berkenaan untuk perjalanan ke luar negara, termasuk ke Thailand bagi bermain golf dan mengunjungi lapang sasar menembak.

Difahamkan, keluarganya turut bersamanya, namun maklumat ini belum dapat disahkan.

Pada 7 Ogos 2023, SPRM dilapor sedang mengesan Muhammad Adlan dan seorang peguam, Mansoor Saat, 70, bagi membantu siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing sebuah kementerian.

Muhammad Adlan dan Mansoor dikatakan meninggalkan Malaysia masing-masing pada 17 Mei dan 21 Mei 2023.

Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Razarudin Husain, turut mengesahkan permohonan notis merah ke atas kedua-dua individu terbabit sudah diserahkan kepada Polis Antarabangsa (Interpol). – 23 Oktober, 2025

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Related