HEADLINES

Porsche, BMW, Cayenne antara 106 kereta mewah bernilai RM21 juta disita JPJ Negeri Sembilan

Tindakan penguatkuasaan itu melibatkan pemilik kenderaan berusia antara 35 hingga 55 tahun, termasuk seorang ahli perniagaan bergelar Datuk

3:55 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Mercedes-Benz siri A, C, E dan S-Class, Porsche Macan, Cayenne dan 718 Cayman merupakan antara 106 kenderaan mewah bernilai RM21 juta yang disita oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan sepanjang tahun ini.

Menurut Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf, ia disita menerusi Op Luxury susulan kegagalan pemilik kenderaan mematuhi peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 termasuk kesalahan membabitkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans sah serta lesen memandu tidak sah.

“Tindakan penguatkuasaan itu melibatkan pemilik kenderaan berusia antara 35 hingga 55 tahun, termasuk seorang ahli perniagaan bergelar Datuk.

“Turut disita ialah kereta mewah Panamera, Taycan, BMW siri 3, 5, 7 dan X5, Audi A-Series dan Q-Series, serta Toyota Alphard dan Vellfire,’’ katanya, lapor Bernama.

Hanif Yusabra berkata, sitaan kereta mewah ini adalah antara yang terbesar dilakukan oleh JPJ Negeri Sembilan berbanding tahun lepas iaitu 20 kenderaan, menjadikan peratusannya meningkat sebanyak 80%.

Beliau menambah, melalui penguatkuasaan itu juga, 318 notis pelbagai kesalahan telah dikeluarkan, termasuk membabitkan tiada cukai jalan, cukai jalan tamat tempoh, kesalahan pelesenan kenderaan serta kesalahan lain di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

Beliau menegaskan operasi berkenaan merupakan tindakan penguatkuasaan bersepadu di peringkat nasional dan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi membendung trend pemilikan serta penggunaan kenderaan mewah yang tidak berdaftar secara sah atau cuba mengelak pembayaran cukai jalan.

Hanif Yusabra turut meminta orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan sebarang pelanggaran undang-undang trafik melalui Aplikasi MyJPJ (e-Aduan) atau emel [email protected] bagi membantu pihak berkuasa menjalankan tindakan penguatkuasaan dengan lebih berkesan. – 24 Disember, 2025

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

OCM in the spotlight again: Skechers collab draws flak after brand linked to Israel

With shoe sponsorship amounting to almost RM200,000, Datuk Nazifuddin Najib says sports should be free from any agenda as the aim is to provide comfort to athletes

Related