KUALA LUMPUR – Krisis politik di Perlis adalah lambang kegagalan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN), kata bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Wan Saiful berkata Muhyiddin sepatutnya bertindak segera apabila tanda-tanda awal ketidakstabilan muncul di Perlis, dan kini perlu bertanggungjawab terhadap ketegangan yang tercetus antara Bersatu dan PAS.
“Mengapa Muhyiddin tidak memanggil mesyuarat PN untuk memutuskan calon menteri besar? Mengapa Bersatu hantar satu surat manakala PAS hantar surat lain?” katanya dalam kenyataan, merujuk kepada senarai calon berasingan yang dikemukakan kedua-dua parti kepada Raja Perlis sebelum pelantikan Abu Bakar Hamzah.
Beliau menegaskan mesyuarat PN sepatutnya diadakan segera bagi menangani krisis politik itu. Kegagalan Muhyiddin bertindak, katanya, telah merosakkan gabungan tersebut sehingga ada pihak kini mendesak PAS keluar daripada PN dan menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN).
“Sehingga hari ini, Muhyiddin masih tidak memanggil mesyuarat. Seolah-olah beliau langsung tidak peduli dengan apa yang berlaku,” katanya yang turut mencadangkan agar PAS mengambil alih kepimpinan gabungan itu bagi melaksanakan reformasi.
Wan Saiful mendakwa kelemahan Muhyiddin telah lama disedari, malah PAS pernah menulis kepadanya sejak Disember 2024 untuk mencadangkan reformasi besar dalam PN.
Namun, beliau menolak desakan agar PAS meninggalkan PN kerana ia bercanggah dengan matlamat penyatuan ummah.
“Janggal untuk bercakap tentang perpaduan ummah tetapi memilih jalan yang memecahkan gabungan,” katanya.
Wan Saiful, yang dipecat daripada Bersatu pada Oktober tahun lalu, turut mencadangkan agar komponen PN termasuk Gerakan memberi laluan kepada PAS untuk mempengerusikan gabungan itu.
“Kita mesti ingat PAS bukan parti kanak-kanak. Mereka tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya, sambil mengakui langkah itu mungkin menimbulkan kebimbangan dalam kalangan komponen bukan Melayu tetapi boleh diuruskan.
Muhyiddin pencetus krisis
Sementara itu, sumber Bersatu menyalahkan Muhyiddin atas krisis PN di Perlis, mendakwa beliau mengemukakan calon menteri besar kepada Raja Perlis tanpa merujuk Majlis Tertinggi PN atau biro politik Bersatu.
Menurut sumber yang arif dengan perbincangan dalaman parti, lima Adun Bersatu yang menandatangani akuan bersumpah (SD) menarik sokongan terhadap bekas menteri besar, Mohd Shukri Ramli, berbuat demikian dengan restu kepimpinan tertinggi.
“Lebih buruk lagi, PAS mempunyai lebih banyak kerusi dalam Dewan Undangan Negeri tetapi tidak pernah dirujuk. Keputusan ini hanya menambah jurang antara Bersatu dan PAS,” katanya.
Sumber itu mendakwa Shukri telah berdepan masalah dengan pihak istana, membuka ruang untuk Bersatu campur tangan. Namun, tindakan itu dikritik sebagai “pandangan cetek” dan berpotensi merosakkan perpaduan PN.
Sabtu lalu, Muhyiddin menafikan Bersatu mengarahkan lima Adun menarik sokongan terhadap Shukri, sebaliknya berkata nama calon menteri besar hanya dikemukakan selepas diarahkan oleh pejabat istana.
Bagaimanapun, sumber sebelum ini mendakwa Bersatu berada di belakang usaha menyingkirkan Shukri bagi melantik menteri besar daripada parti itu.
Bersatu dilaporkan mengemukakan nama Abu Bakar Hamzah bersama dua lagi Adun – Megat Hashirat Hassan (Pauh) dan Izizam Ibrahim (Titi Tinggi) – sebagai calon menteri besar.
Abu Bakar mengangkat sumpah semalam sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu, menggantikan Shukri yang meletakkan jawatan Khamis lalu atas alasan kesihatan, selepas lapan Adun PN dilaporkan menyerahkan SD kepada istana menarik sokongan terhadapnya. – 29 Disember, 2025
