HEADLINES

Zamri Vinoth, Tamim Dahri direman

Sementara itu Setiausaha Urimai mengesahkan dua pemimpin parti itu, K Gunasekaran (Cikgu Sekar) dan Sai Saravana turut ditahan

10:25 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Penyelaras perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH), Zamri Vinoth dan seorang lagi individu, Tamim Dahri Abdul Razak ditahan reman hari ini, manakala 18 peserta lain dibebaskan malam tadi dengan jaminan polis.

Perkara itu disahkan peguam Haniff Khatri Abdulla, yang turut ditahan malam tadi, selepas keterangannya diambil pihak polis.

“Sebanyak 20 individu ditahan sebelum perhimpunan semalam termasuk saya sendiri. Selepas polis mengambil keterangan, 18 individu dibebaskan dengan jaminan polis sekitar pukul 3 pagi.

“Namun, polis menahan Zamri dan Tamim untuk proses reman hari ini,” katanya lapor Malaysiakini.

Haniff turut merakamkan penghargaan kepada pegawai polis bawahan atas layanan yang diberikan sepanjang tempoh penahanan, namun menyelar tindakan pihak atasan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada pegawai polis bawahan yang memberi layanan yang baik, cuma isunya adalah pegawai atasan yang memberi arahan (penahanan),” katanya.

Terdahulu, pihak polis mula melakukan tangkapan seawal jam 8 malam terhadap individu yang dipercayai ingin menyertai perhimpunan membantah pembinaan rumah ibadat haram di pekarangan kompleks beli-belah Sogo, Kuala Lumpur, malam tadi.

Kehadiran anggota polis termasuk pasukan antirusuhan dilihat mengawal ketat kawasan sekitar Sogo dan Masjid Jamek Kampung Baru bagi menghalang peserta berkumpul.

Arahan bersurai dikeluarkan oleh Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Sazalee Adam, sekitar jam 9.00 malam selepas kehadiran orang ramai mencecah lebih 100 orang.

Selain Zamri, Haniff dan Tamim antara yang ditahan ialah Ketua Penerangan Bersatu Hulu Langat, Shafiq Abdul Halim, Hisyamuddin Abu Bakar (Pengerusi UMMAH Negeri Melaka) dan aktivis PPIM, Gulab Jan Fazal Elad.

Turut ditahan ahli Prowaris, Iskandar Khoo Kuan Yiaw serta aktivis-aktivis anti rumah ibadat haram, Jamalee Bashah, Fatimah Mat Raji, Elza Nadiah Shaik Sulaiman, Jurasmadi Pauzi, Esma Hisham Zainol Nor dan Monashofian Putra Zulkarnain Indra Putra.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terdahulu memberi amaran keras bahawa tindakan maksimum, termasuk tangkapan, akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba mengganggu gugat keselamatan negara.

Beliau menegaskan meskipun rakyat bebas memberikan pandangan dan kritikan, kebebasan tersebut tidak merangkumi tindakan yang boleh dianggap sebagai pengkhianatan atau cubaan mempersulitkan keadaan negara.

Pemimpin Urimai turut ditahan

Dalam perkembangan berkaitan, polis turut menahan dua pemimpin parti Urimai yang juga penganjur kepada satu lagi perhimpunan yang pada asalnya dijadualkan hari ini di India Gate, Brickfields.

Perkara itu disahkan Penasihat Gabungan Hindu Temple Task Force Satees Muniandy.

“Kami baru sahaja dimaklumkan bahawa sekumpulan pegawai polis dari Dang Wangi telah membawa K Gunasekaran (Cikgu Sekar) dan Sai Saravana, dari rumah mereka di Klang sekitar 12.30 malam.

“Parti Urimai dengan tegas mengecam gangguan yang tidak perlu terhadap para aktivis kami. Tujuan pihak polis Dang Wangi membawa mereka masih tidak jelas, kerana pegawai yang terlibat enggan mendedahkan sebarang maklumat atau sebab berkaitan tindakan tersebut.

“Walaupun sebab sebenar masih tidak diketahui, kami percaya tindakan ini mungkin ada kaitan dengan penahanan yang dilakukan pihak polis di kawasan Sogo malam tadi. Namun begitu, adalah tidak jelas mengapa Cikgu Sekar dan Sai Saravana dibawa, sedangkan mereka tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana kejadian yang berlaku hari ini,” katanya.

Setiausaha Urimai yang juga Penasihat Gabungan Hindu Temple Task Force, Satees Muniandy. – Gambar Facebook, 8 Februari, 2026

Difahamkan, Cikgu Sekar merupakan penganjur ‘Perhimpunan Membantah Keengganan Polis-Kerajaan untuk Mengambil Tindakan Terhadap Penghinaan Agama Hindu di Malaysia’, yang telah ditunda dari 8 Feb kepada 15 Feb.

Penganjur bersetuju dengan permintaan pihak polis supaya perhimpunan tidak diteruskan ketika lawatan pemimpin perdana menteri India.

Jelas Satees yang juga Setiausaha Urimai, pihaknya mematuhi sepenuhnya permintaan pihak polis dan segera mengumumkan pembatalan tersebut demi menjaga imej negara semasa lawatan pemimpin asing ke Malaysia.

“Adakah kerajaan hari ini cuba ‘mengimbangi’ penahanan mereka yang berhimpun di Sogo walaupun telah diberi amaran oleh polis? Dan mengapa individu yang mematuhi arahan polis pula diganggu? Apakah bentuk politik murahan seperti ini?

“Cikgu Sekar dan Sai Saravana tidak melanggar sebarang undang-undang, namun tetap diganggu oleh pihak polis, kononnya atas alasan ‘imbangan tindakan’. Kami dengan tegas mengecam gangguan ini,” katanya lagi. – 8 Februari, 2026

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related