KUALA LUMPUR – Pasukan penyelidik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kini dalam peringkat menyediakan draf laporan akhir mengenai kajian berhubung pilihan raya Datuk Bandar.
Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) berkata, sehingga kini UIAM telah mengemukakan Laporan Insepsi/Awalan yang lengkap pada 16 Disember 2025 dan telah dibentangkan kepada JWP pada 12 Januari 2026.
Sementara Laporan Interim yang lengkap, katanya, telah dikemukakan pada 27 Januari 2026 dan dibentangkan kepada JWP pada 28 Januari 2026.
“Pasukan penyelidik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah dilantik oleh Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) pada 1 Disember 2025.
“Terma rujukan kajian merangkumi analisis dasar, sejarah perundangan, perundangan berkaitan dan kajian perbandingan undang-undang luar negara bagi mengenal pasti serta menilai kebolehlaksanaan pindaan Akta Ibu Kota Persekutuan [Akta 190],’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut JWP, terdapat empat laporan yang perlu disediakan oleh pihak UIAM dalam tempoh Disember 2025 hingga Mac 2026 iaitu Laporan Awalan/Insepsi, Laporan Interim, Draf Laporan Akhir dan Laporan Akhir.
Terdahulu, UIAM menegaskan kajian kebolehlaksanaan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur masih belum dimulakan secara rasmi, sekali gus menepis tanggapan bahawa penyelidikan itu sudah berjalan.
Presiden UIAM, Tan Sri Abdul Rashid Hussain, berkata pihaknya setakat ini hanya menjalankan kajian akademik awal dan belum membuat sebarang keputusan.
“Kami hanya diarahkan untuk buat kajian akademik. Untuk memulakan kajian rasmi, kami perlukan penjelasan lanjut daripada pihak yang melantik kami – apa sebenarnya yang mereka mahu daripada kajian ini,” katanya memetik Utusan Malaysia.
Awal bulan lalu, Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh, menyatakan kajian kebolehlaksanaan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur dimulakan UIAM sejak Disember lalu ketika Dr Zaliha Mustafa menerajui kementerian.
Namun, beliau menekankan kajian itu masih di peringkat awal dan terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan. – 12 Februari, 2026
