KUALA LUMPUR – Misteri bunyi letupan kecil dan percikan api melibatkan sebuah tren Transit Aliran Ringan (LRT) Rapid KL di Stesen Taman Jaya menghala ke Putra Heights malam semalam akhirnya terjawab selepas dikesan berpunca dari dawai halus yang telah cair.
Dalam insiden cemas pada jam 7.18 malam itu dawai halus terbabit dipercayai telah tersangkut pada sistem bekalan kuasa landasan.
Rapid KL dalam kenyataan hari ini memaklumkan, hasil siasatan mendapati dawai halus yang telah cair di lokasi kejadian itu bukan sebahagian daripada komponen tren mahupun infrastruktur landasan.
Susulan kejadian, tren bernombor 57 yang terlibat dikeluarkan serta-merta daripada perkhidmatan untuk pemeriksaan lanjut.
Penumpang selamat, tiada kerosakan tren
“Semua penumpang diturunkan dengan selamat di stesen berikutnya sebelum meneruskan perjalanan menggunakan tren lain.
“Pemeriksaan awal oleh pasukan teknikal mendapati tiada kerosakan dikesan pada tren atau komponennya,” menurut kenyataan itu.
Pemeriksaan menyeluruh ke atas landasan antara Stesen Universiti dan Stesen Taman Jaya turut mengesahkan infrastruktur berkenaan berada dalam keadaan baik serta selamat untuk operasi.
Siasatan terperinci diteruskan
Bagaimanapun, Rapid KL menegaskan bahawa mereka tidak akan berkompromi dalam aspek keselamatan pengguna.
“Pemeriksaan terperinci diteruskan selepas tamat waktu operasi sebagai langkah pengesahan bagi memastikan keselamatan perkhidmatan.
“Rapid KL memandang serius setiap insiden yang melibatkan aspek keselamatan dan akan terus menjalankan siasatan lanjut serta mengambil langkah pencegahan sewajarnya bagi mengelakkan kejadian sama berulang.”
Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam insiden itu dan perkhidmatan Laluan Kelana Jaya kini dilaporkan beroperasi seperti biasa.
Terdahulu, media sosial kecoh dengan penularan sebuah video memaparkan detik cemas apabila sebuah tren LRT yang baru mula bergerak dari stesen tiba-tiba mengeluarkan bunyi letupan berserta percikan api. – 1 Julai, 2026
