◉ HEADLINES

Kesuma guna sepenuhnya eQuota, tamatkan kelulusan pekerja asing berdasarkan kes

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata langkah itu susulan keputusan Jemaah Menteri pada 1 Julai lepas yang bersetuju meletakkan Pusat Sehenti Pengurusan Pekerja Asing (OSC) di bawah Kesuma berkuat kuasa serta-merta

3:09 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) menegaskan semua permohonan kuota pekerja asing kini dilaksanakan sepenuhnya menerusi modul eQuota dalam Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS), sekali gus tiada lagi kelulusan kuota berdasarkan kes.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata langkah itu susulan keputusan Jemaah Menteri pada 1 Julai lepas yang bersetuju meletakkan Pusat Sehenti Pengurusan Pekerja Asing (OSC) di bawah Kesuma berkuat kuasa serta-merta, dengan tadbir urus baharu itu dilaksanakan bagi memastikan rantaian operasi industri yang memohon tenaga kerja tidak terjejas.

“Saya ulang, tak ada secara kes demi kes lagi. Selepas sesi libat urus habis, agensi kawal selia akan memaklumkan kepada OSC untuk pertimbangan, selepas itu kelulusan akan diberikan. Sangat jelas dan mudah. Tiada lagi secara kes demi kes,” katanya pada sidang media khas di sini hari ini.

Beliau berkata setakat pagi ini, sebanyak 22,476 permohonan melibatkan 548 syarikat telah direkodkan dalam sistem, berbanding angka 19,000 permohonan yang diumumkan sebelum ini.

Ramanan turut menegaskan Kesuma mempunyai kawalan penuh terhadap sistem FWCMS, termasuk kod sumber dan pentadbir super yang akan dipegang Ketua Setiausaha Kesuma, sekali gus menolak dakwaan bahawa kementerian itu tidak mempunyai akses kepada sistem berkenaan.

“Tak perlu hubungi, jumpa atau minta lajukan untuk kuota ini. Semua melalui sistem, telus dan jelas,” katanya.

Turut hadir pada sidang media itu adalah Timbalan Menteri Kesuma Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan, Ketua Setiausaha Kesuma Datuk Azman Mohd Yusof dan Timbalannya Sutekno Ahmad Belon.

Ramanan turut memaklumkan majikan perlu memberi keutamaan kepada pekerja tempatan dengan mendapatkan kelulusan Seksyen 60K Akta Kerja dan mengiklankan kekosongan melalui portal MyFutureJobs terlebih dahulu sebelum memohon kuota pekerja asing sekiranya tiada calon tempatan yang sesuai.

Dalam pada itu, Ramanan berkata Kabinet turut meluluskan penubuhan sebuah pusat transit bagi menempatkan pekerja asing yang baharu tiba di Malaysia sementara menunggu majikan mengambil mereka untuk ditempatkan di lokasi pekerjaan.

Beliau berkata pusat transit itu bertujuan mengurangkan kesesakan di lapangan terbang, memastikan pekerja diambil oleh majikan yang memohon serta mengelakkan sebarang penyalahgunaan selepas mereka memasuki negara ini.

Sementara itu, beliau berkata walaupun OSC kini berada di bawah Kesuma, kuasa mengeluarkan pas atau permit kerja kekal di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana ia melibatkan aspek keselamatan negara.

“Keselamatan diutamakan. Kesuma akan proses tetapi kelulusan mengeluarkan pas ataupun permit kerja adalah daripada KDN,” katanya. – July 6, 2026

Topics

 

◉ Hangat

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Short-lived La Niña expected in early 2026, but stable weather to follow

MetMalaysia forecasts cool conditions and brief shifts in rainfall patterns before returning to normal

◉ Related