KUALA LUMPUR – Penganjuran Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Bahrain Gulf Air di Malaysia merupakan hasil kejayaan diplomasi diraja yang memperlihatkan hubungan erat serta kepercayaan tinggi antara Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Bahrain, Raja Hamad Isa Al-Khalifa.
Malah Emir Bahrain turut hadir di upacara pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 2024.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan dalam Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, ketika konflik bersenjata di Asia Barat menyebabkan cabaran kepada kalendar perlumbaan F1, Raja Bahrain dalam usaha mencari penyelesaian telah mengadakan perbincangan menerusi panggilan telefon kepada Yang di-Pertuan Agong.
Ini kerana konflik bersenjata itu menyebabkan penganjuran F1 Grand Prix Bahrain berdepan ketidaktentuan dan memerlukan penyelesaian segera bagi memastikan perlumbaan berprestij itu dapat diteruskan.
“Perbincangan yang berlangsung dalam suasana penuh mesra serta semangat persahabatan itu menjadi titik tolak kepada kerjasama strategik antara Kerajaan Malaysia, Kerajaan Bahrain, Formula 1 dan Federation Internationale de l’Automobile (FIA).
“Hasil persefahaman itu, persetujuan berjaya dicapai untuk menganjurkan Formula 1 Grand Prix Bahrain di Litar Antarabangsa Petronas Sepang, sekali gus mengembalikan perlumbaan Formula 1 ke Malaysia selepas kali terakhir dianjurkan pada tahun 2017,’’ kata kenyataan berkenaan.
Kenyataan itu juga menyebut, pengumuman litar Sepang sebagai tuan rumah bagi F1 Grand Prix Bahrain diterima baik, terutama dalam kalangan peminat F1 di Malaysia dan serantau serta mencipta lembaran sejarah tersendiri yang mencerminkan hubungan diplomasi diraja yang cukup baik antara Sultan Ibrahim dan Raja Hamad.

Semalam, Formula 1 mengesahkan Malaysia sebagai tuan rumah GP Bahrain susulan persetujuan yang dicapai antara Formula 1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), serta Kerajaan Malaysia dan Bahrain.
Dalam kenyataan mengumumkan Malaysia sebagai tuan rumah Bahrain GP semalam, FIA meluahkan penghargaan kepada Tuanku Sultan Ibrahim menawarkan Sepang Circuit sebagai alternatif kepada Bahrain F1.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Hamad bin Isa Al Khalifa, Raja Bahrain, Duli Yang Teramat Mulia Putera Mahkota Salman bin Hamad Al Khalifa, dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim, Yang di-Pertuan Agong Malaysia, serta kerajaan masing-masing kerana menjayakan pencapaian luar biasa ini melalui visi, komitmen dan tindakan tegas mereka,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Formula 1, Stefano Domenicali.
Acara yang dijadual berlangsung di SIC dari 2 hingga 4 Oktober itu akan mengekalkan nama asalnya sebagai Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia, tertakluk kepada persetujuan akhir dan kelulusan rasmi, termasuk daripada Majlis Sukan Permotoran Dunia.
Persetujuan itu membolehkan GP Bahrain kekal dalam kalendar F1 musim 2026 selepas perlumbaan berkenaan dibatalkan pada awal musim ini berikutan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Malaysia sebelum ini menjadi tuan rumah GP Malaysia di Sepang dari 1999 hingga 2017 sebelum perlumbaan itu digugurkan daripada kalendar F1. – 27 Julai, 2026
