KUALA LUMPUR – Cadangan untuk mengenakan caj ke atas setiap kenderaan elektrik (EV) yang dijual bagi membiayai pembangunan rangkaian pengecas awam adalah tidak wajar dan berpotensi meningkatkan kos pembelian EV.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, pembangunan rangkaian pengecas EV, katanya, seharusnya dipacu oleh pelaburan sektor swasta berdasarkan dasar, garis panduan keselamatan dan insentif yang ditetapkan kerajaan, bukannya dibiayai melalui caj baharu yang dikenakan kepada pembeli EV.
“Cadangan itu juga akan mengurangkan kemampuan rakyat untuk beralih kepada kenderaan elektrik.
“Jika keadaan ini berlaku, hasrat kerajaan untuk mempercepat peralihan daripada penggunaan bahan api fosil kepada tenaga yang lebih bersih dan mampan akan menjadi lebih sukar dicapai.
“Kerajaan sepatutnya mengurangkan halangan pemilikan EV dan mencari jalan mengurangkan kos pembelian, bukannya menambah kos kepada pengguna.
“Prinsip ‘Lesser Government in Business’ yang pernah diketengahkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menggariskan bahawa kerajaan perlu berperanan sebagai penggubal dasar dan pemudah cara, manakala sektor swasta menjadi pemacu utama pelaburan. Kerajaan tidak seharusnya menjadi pemain yang bersaing dalam industri,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dalam jawapan bertulis di Dewan Negara pada 4 Ogos lalu berkata kerajaan sedang mempertimbangkan mekanisme untuk mengenakan caj ke atas setiap EV yang dijual bagi mewujudkan tabung pembinaan rangkaian pengecas awam di seluruh negara.
Johari berkata, berkata langkah itu sedang diperhalusi susulan kekangan kerajaan untuk membiayai pembangunan rangkaian pengecas awam secara berskala besar seperti yang dilaksanakan di China.
“Mungkin setiap kereta EV yang dijual di sini kita kenakan caj untuk dimasukkan dalam satu tabung bagi membina pengecas awam tanpa mengharapkan penjual kereta ini melakukannya kerana ia tidak berlaku,” katanya.
Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, Jepun membuktikan bahawa pembangunan ekosistem EV boleh dipercepat melalui kerjasama kerajaan dan sektor swasta dengan memberi insentif kepada pelaburan infrastruktur, tanpa membebankan pengguna dengan caj tambahan ketika membeli kenderaan.
“Saya menggesa kerajaan menilai semula cadangan tersebut dan memberi tumpuan kepada dasar yang tidak menaikkan kos kepada pembeli sekiranya kita mahu terus menggalakkan penggunaan EV,’’ katanya. – 6 Ogos, 2026

